SHAH ALAM: Kegiatan haram tiga sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto yang beroperasi dekat rumah teres dan kondominium tumpas selepas digempur polis, baru-baru ini.
Sindiket berasingan yang menawarkan pelaburan tidak wujud itu masing-masing menyasarkan mangsa dari Hong Kong, Australia dan Singapura sebelum ia terbongkar apabila pusat panggilannya diserbu di sekitar Rawang dan Subang Jaya, antara 11 hingga 28 Ogos lalu.
Tiga serbuan berasingan itu membawa kepada penahanan 39 suspek termasuk 13 warga asing berusia 18 hingga 57 tahun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati sindiket itu menggunakan modus operandi sama dengan pegawai khidmat pelanggan bagi mencari mangsa.
“Ahli sindiket akan berkomunikasi dengan mangsa melalui pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Telegram dan WhatsApp.
“Mangsa kemudian ditawarkan menyertai pakej pelaburan yang dikawal ahli sindiket lain. Mereka menyedari ditipu selepas bayaran dibuat namun gagal menghubungi sindiket,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Jelasnya, dalam semua serbuan itu polis merampas pelbagai peralatan termasuk komputer riba, telefon bimbit, modem yang dianggarkan keseluruhan RM170,000.
“Turut dirampas, sembilan buku skrip yang digunakan sindiket untuk memperdayakan mangsa mereka. Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 130B (2) Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Tambah Shazeli, nilai kerugian kes penipuan dalam talian yang direkodkan di Selangor berjumlah RM515 juta sepanjang Januari sehingga bulan lalu.
“Polis komited membanteras jenayah siber dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan tawaran pelaburan yang mencurigakan dan menyalurkan maklumat berkaitan pusat panggilan penipuan seumpama itu,” katanya. – UTUSAN






