SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun berdepan detik cemas apabila kenderaan Perodua Viva yang dinaikinya dilarikan seorang suspek dalam kejadian pukul 7 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian berlaku berhampiran SMK Taman Sri Muda, di sini, ketika kenderaan itu diletakkan di tepi jalan besar berhampiran sekolah berkenaan.
Katanya, ketika kejadian, mangsa berada di tempat duduk belakang dan sedang bermain telefon bimbit.
“Hasil maklumat orang awam, mangsa bersama kenderaan berjaya ditemui di tepi jalan berdekatan Restoran D’ Shell, Seksyen 26, Shah Alam. Pemeriksaan mendapati mangsa dan kenderaan berada dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati, sebelum kenderaan kompak itu dilarikan, mangsa meminta bapanya menghidupkan enjin kerana ingin tinggal di dalam kereta.
“Bagaimanapun suspek dipercayai menyedari kanak-kanak itu yang berada di tempat duduk belakang selepas dia menjerit. Namun ketika kenderaan dilarikan, suspek menyuruh mangsa supaya diam dan tidak bertindak kasar atau mengugut,” jelasnya.
Ramsay berkata, walaupun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, dia dilaporkan masih berada dalam keadaan trauma akibat kejadian berkenaan.
Kenderaan yang ditemui turut diperiksa oleh Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi membantu siasatan, sebelum ia dan mangsa dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri kenderaan serta Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan kanak-kanak di bawah umur daripada jagaan yang sah.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara satu hingga tujuh tahun serta dikenakan denda bagi kesalahan mencuri kenderaan, manakala bagi kesalahan melarikan kanak-kanak di bawah umur, hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda juga boleh dikenakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-1755 4394 bagi membantu siasatan. – UTUSAN






