SHAH ALAM: Suspek kes culik dan mencederakan seorang kanak-kanak perempuan dekat Jalan Bakawali, Bukit Sentosa di Hulu Selangor pada Khamis minggu lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu selewat-lewatnya esok.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kertas siasatan berhubung kes tersebut sudah pun lengkap dan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya sebelum menerima arahan supaya pertuduhan dilakukan.
“Pertuduhan akan dijalankan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Insya- Allah, sekiranya tiada halangan sama ada hari ini ataupun esok akan dijalankan pertuduhan.
“(Motif kejadian) Dipercayai suspek mengalami gangguan emosi,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Suspek seorang lelaki berusia 23 tahun itu, sebelum ini dilapor ditahan polis di rumahnya dan didapati positif dadah apabila ujian urin dijalankan terhadapnya, dia kemudian direman selama empat hari.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun berdepan detik cemas apabila dipercayai dicabul dan dicederakan selepas ditarik lelaki tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian kira-kira jam 8 malam dan kejadian berlaku ketika mangsa bersama kakak dan abangnya untuk pergi ke pasar malam.
Menurutnya, kejadian berlaku semasa mangsa bersama kakak dan abangnya melalui jalan terbabit untuk ke pasar malam. – UTUSAN






