PETALING JAYA: Seorang Pengarah Syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada sebuah syarikat pemaju hartanah.
Wang rasuah berkenaan sebagai balasan menyerahkan tanah milik bekas pekerja-pekerja sebuah ladang di negeri Selangor bagi tujuan pembangunan komersial.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 60-an telah ditahan kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2025 apabila menyerahkan tanah milik 136 pekerja ladang tanpa pengetahuan dan kebenaran pekerja-pekerja tersebut.
“Suspek yang merupakan pemegang amanah ke atas tanah seluas lapan ekar itu dipercayai telah menerima wang rasuah beberapa kali dalam tempoh lima tahun dan dia turut menerima wang kira-kira RM5 juta hasil pengambilan tanah tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.
“Suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok untuk permohonan reman,” katanya. – UTUSAN





