SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan dalam Operasi (OP) Sohor sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan secara berperingkat berjumlah keseluruhan RM93,800 antara Oktober 2023 hingga April lalu.
Tertuduh Mahazam Ali membuat pengakuan demikian selepas mendengar kesemua lapan pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Mengikut pertuduhan, pegawai berpangkat kepten itu didakwa menerima suapan daripada seorang lelaki yang diketahuinya mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh melalui seorang wanita perantara berjumlah antara RM10,000 hingga RM14,400.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukannya sebagai Pengarah Strategi Sumber Manusia, Bahagian Sumber Manusia pada 13 Oktober 2025 dan Pengarah Cawangan Komunikasi Bahagian Siber Elektromagnetik Pertahanan dekat sebuah cawangan utama sebuah bank di bandar raya ini dari 29 Mei 2024 hingga 25 April lalu.
Justeru, Mahazam, 48, dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, ‘Atirah MOhd. Azuarizanuddin kemudian mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh diikat jamin.
Beliau turut mencadangkan supaya syarat tambahan dikenakan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berdekatan.
Peguam, Lee Keng Fatt kemudian memohon tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan jumlah RM5,000 dan bersedia mematuhi kesemua syarat tambahan.
“Anak guam masih menanggung anak berusia 22 tahun yang sedang menuntut di sebuah universiti awam. Tertuduh juga merupakan penanggung tunggal turut menanggung ibunya berusia 84 tahun yang menghidap demensia dan perbelanjaan rawatan berkala,” ujarnya.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan mematuhi syarat tambahan yang dicadangkan seperti melaporkan diri ke Pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan.
Malah, beliau turut memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mana-mana saksi termasuk rakan sekerja di Kementerian Pertanahan serta melarangnya daripada mengakses sebarang fail dan data yang mempunyai kaitan dengan kesnya.
Ogos lalu Nexbyte melaporkan SPRM menahan 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Op Sohor berhubung sindiket penyeludupan yang beroperasi di Johor.
Turut ditahan adalah dua wartawan agensi media dalam talian, seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran di Malaysian Medical Association (MMA) serta warga asing. – UTUSAN






