SHAH ALAM: Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini dijenamakan semula dan kini dikenali sebagai Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC) hari ini sebagai evolusi hab perdagangan dan perniagaan yang lebih dinamik.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam kenyataannya berkata, penjenamaan semula itu merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan SA Sentral di Seksyen 14.
Menurutnya, transformasi tersebut dijangka memperkukuh kedudukan SA Sentral sebagai mercu tanda baharu Shah Alam, selain meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi perniagaan, perdagangan, pelaburan dan aktiviti komuniti.
“Lebih daripada sekadar perubahan identiti, penjenamaan SITC mencerminkan visi
PKNS untuk memaksimumkan potensi aset strategiknya serta memperkukuh peranan Shah Alam dan Selangor dalam landskap perdagangan serantau dan antarabangsa.
“Penjenamaan semula itu menandakan evolusi peranan pusat konvensyen berkenaan daripada sebuah lokasi penganjuran acara kepada sebuah hab perdagangan dan perniagaan yang lebih dinamik, berdaya saing dan berorientasikan masa hadapan,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya, menerusi perubahan itu, PKNS berhasrat mewujudkan sebuah platform bersepadu yang menghimpunkan usahawan, pemain industri, komuniti perniagaan dan pelabur dalam satu ekosistem.
“Sebagai platform perdagangan, konvensyen dan pameran utama di Selangor, SITC membawa aspirasi untuk menghubungkan perniagaan tempatan dengan pasaran serantau dan antarabangsa.
“Kedudukan strategik SITC dalam pembangunan SA Sentral turut memperkukuh peranannya sebagai sebahagian daripada ekosistem bandar yang mengintegrasikan komponen perniagaan, komersial, sosial dan komuniti di tengah-tengah Shah Alam,” ujarnya.
Untuk rekod, SITC yang dikenali sebagai SACC mula dibuka pada April 2010. – UTUSAN






