SANDAKAN: Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberikan peluang untuk melengkapkan tempoh pentadbiran sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.
Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin berkata, Kerajaan Perpaduan berjaya mengekalkan kestabilan politik serta keharmonian negara, selain ekonomi terus berkembang.
“Sejak Anwar mengambil alih pentadbiran negara pada November 2022, Malaysia berdepan pelbagai cabaran termasuk kesan pandemik Covid-19, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), konflik Rusia-Ukraine, Israel-Gaza dan perang Iran turut memberi kesan kepada harga minyak serta inflasi.
“Walaupun rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup serta pelaksanaan reformasi seperti peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan e-Invois, kerajaan perlu terus mendengar keluhan rakyat serta memperbaiki pelaksanaan dasar mengurangkan beban mereka.
“Oleh itu, rakyat wajar memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan melengkapkan tempoh pentadbiran sehingga tempoh akhir sebelum PRU diadakan,” katanya demikian pada Persidangan Bersama Bahagian LDP Sandakan 2026 di Tanjung Papat, di sini.
Menurut Chin, sebarang usaha mendesak pembubaran Parlimen lebih awal tidak seharusnya didorong kepentingan politik atau peribadi.
Beliau berkata, kekuatan politik Sabah dan Sarawak boleh menjadi kuasa penentu di peringkat Persekutuan, sekali gus membolehkan dua negeri itu mempunyai kedudukan lebih kukuh untuk mendapatkan autonomi serta manfaat lebih besar bagi rakyat.
Katanya, Sabah perlu mengambil iktibar perkembangan politik Semenanjung dan perlu bersatu memastikan semua 25 kerusi Parlimen dimenangi gabungan berasaskan parti tempatan.
Beliau berkata, pencapaian Anwar tidak wajar dibandingkan secara langsung dengan rekod Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama lebih enam dekad, kerana tempoh pentadbiran Anwar sekitar tiga tahun.
Selain itu, katanya, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menyaksikan kejayaan BN-PN tidak semestinya menggambarkan keputusan PRU. – UTUSAN






