SHAH ALAM: Peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi setiap kawasan parlimen yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan perkara yang diperjuangkan oleh ahli Dewan Rakyat sebelum ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peruntukan tambahan tersebut merupakan satu kewajaran yang perlu diberikan supaya rakyat di setiap kawasan parlimen mendapat manfaatnya.
“Bila saya menjadi ahli parlimen (lewat sedikit berbanding ahli parlimen lain) dan Pengerusi PN, antara perkara awal yang saya buat adalah bertemu dengan Perdana Menteri dan membincangkan perkara demikian (peruntukan).
“Kemudian berlaku perbincangan saya dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan kita masih lagi berharap pada waktu itulah. Tetapi, alhamdulillah saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri, ini adalah suatu kewajaran yang perlu diberikan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Minum Petang Perbincangan Meja Bulat ‘Peace & Harmony’ Pas di sini, hari ini.
Terdahulu Nexbyte melaporkan, Anwar yang juga Presiden PKR dalam ucapan penggulungan kongres nasional parti itu di Melaka mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi setiap kawasan parlimen.
Peruntukan tersebut diberikan bagi melaksanakan projek dan membantu rakyat di kawasan berkenaan yang akan disalurkan secara langsung kepada rakyat di setiap kawasan.
Malah, Ahmad Samsuri menjelaskan, peruntukan tambahan tersebut tidak semestinya ahli-ahli parlimen perlu menguruskan semua apabila kaedah sebelum ini pun ia dibuat melalui agensi kerajaan seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan jabatan-jabatan lain.
“Paling tidak setiap ahli parlimen ada peranan mereka dalam kapasiti masing-masing untuk menentukan sama ada ia wajar atau tidak sebarang peruntukan (bagi sesuatu) projek itu dilaksanakan.
“Jadi, barulah setiap ahli parlimen ada peranan masing-masing tanpa mengira sama ada mereka daripada kerajaan ataupun pembangkang. Itu adalah sesuatu yang sihat dalam sistem demokrasi dalam negara kita,” ujarnya. – UTUSAN






