KLANG: Penduduk di Jalan Meru, Batu 6, di sini, hari ini gempar apabila melihat kepulan besar asap hitam berpunca daripada kebakaran melibatkan empat rumah, satu bengkel, dua kereta dan sebuah motosikal.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bangunan kelas C itu dengan anggaran keluasan 375 kaki persegi serta sebuah Proton Waja, Perodua Myvi dan Yamah Ego hangus 90 peratus.
“Laporan awal komander operasi, kebakaran melibatkan empat buah rumah, sebuah bengkel dan beberapa kenderaan di lokasi kejadian. Anggaran peratusan kebakaran 90 peratus dan tidak melibatkan mangsa.
“Laporan terkini, kesemua kemusnahan dianggarkan 90 peratus,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Sebelum itu, beliau memaklumkan bomba menerima panggilan pada pukul 1.39 petang dan menggerakkan sepasukan dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu BBP Kapar, Klang Utara dan Bukit Jelutong.
Terdahulu, tular perkongsian sebuah video dalam media sosial yang memaparkan kepulan besar asap hitam menjulang ke langit sehingga kelihatan di Jalan Abdul Manan. – UTUSAN






