“SYURGA ditentukan Allah SWT. Cuma salah satu sebab masuk syurga bagi isteri adalah mentaati suaminya.”
Demikian nasihat pendakwah bebas, Datuk Syeikh Ahmad Faisol Omar,59, ketika berbicara tentang tanggungjawab isteri dalam perkahwinan terutamanya isteri yang berkerjaya.
Menjelaskan perkara itu, katanya, seorang wanita berkerjaya harus bijak mengurus karier dan tanggungjawab dalam rumah tangga dengan menghayati fungsi perkahwinan itu sendiri.
“Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpangkat tinggi dan bergaji besar adalah ujian bagi isteri. Jika tidak diurus dengan baik boleh menyebabkan dia lupa dia ialah isteri kepada seorang lelaki. Pada ketika itu ada kemungkinan isteri berkerjaya tidak menghayati suaminya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Alor Setar, baru-baru ini.
Beliau yang aktif berdakwah termasuk melalui siri kuliahnya di media sosial turut menegaskan, sikap wanita yang ingkar malah tidak menghormati suaminya tanpa alasan munasabah, hukumannya adalah derhaka.
“Masuk syurga atau tidak bergantung kepada keadaan. Jika isteri berterusan nusyuz atau derhaka sehingga suami mati atau dia dulu yang mati, maka itu sebab masuk neraka.
“Tetapi jika isteri meminta maaf dan suami memaafkan dan isteri kembali menjadi isteri solehah dan taat maka tiada sebab dia tidak boleh masuk syurga,” jelasnya yang turut aktif berceramah di stesen radio di Kedah.
Katanya, ketaatan isteri bermaksud mengikut suruhan dan perintah berkaitan perkara yang baik-baik.
Bekas Pegawai Agama Kota Setar ini pada masa sama tidak menafikan gaya hidup masa kini menyebabkan perkahwinan tidak bahagia termasuk penyalahgunaan media sosial dan pergaulan yang tidak terkawal.
“Itu termasuk kebebasan mutlak yang diberikan kepada isteri, terlalu mementingkan kerjaya sehingga lupa tanggungjawab rumah tangga dan fitnah maya adalah antara faktor mengeruhkan hubungan suami isteri dan boleh menyebabkan perceraian,” jelasnya.
Menjelaskan tentang ciri-ciri penting dalam perkahwinan katanya, antaranya adalah saling melaksanakan tanggungjawab sebagai suami isteri, menegur pasangan secara berhemah dan sopan, bersabar apabila berdepan masalah, menerima pasangan seadanya,
memahami kerjaya pasangan dan mengamalkan berjemaah dalam banyak perkara seperti solat, makan bersama keluarga dan melancong.
Mengulas tentang perceraian yang sering terjadi dalam perkahwinan sejak kebelakangan ini, kata beliau, ia disebabkan oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran rumah tangga.
“Sebab perceraian bukan hanya kerana pasangan tidak memahami tujuan dan tanggungjawab perkahwinan semata-mata. Malahan faktor lain turut mempengaruhinya seperti penyalahgunaan media sosial, campur tangan ibu bapa dan pihak ketiga, terlalu asyik dengan kerja dan masalah sikap,” katanya.
Beliau juga memberitahu, asas kebahagiaan perkahwinan sehingga syurga itu bermula dari saat pasangan berkenaan memilih pasangan masing-masing untuk ke jenjang pelamin.
“Ini kerana pemilihan pasangan tidak boleh secara gopoh gapah dan tergesa-gesa. Peribahasa dari mata turun ke hati bukan keputusan muktamad untuk melangsungkan perkahwinan.
“Kadang-kadang luaran tidak sama dengan dalaman. Oleh itu, Islam menyusun perkahwinan langkah demi langkah. Ia bermula dengan merisik. Jika berkenan baru meminang. Selepas itu bertunang dan diakhiri dengan perkahwinan.
“Kebiasaannya perempuan dikahwini kerana empat perkara atau salah satu daripadanya iaitu kecantikan, kekayaan, keturunan dan penghayatan agama yang kuat. Jika didapati kesemuanya insya-Allah perkahwinan akan bahagia. Jika tidak dapat kesemuanya, maka jangan ditinggal ciri terakhir iaitu penghayatan agama kerana ia adalah ciri utama kebahagiaan rumah tangga,” katanya. – Mingguan Malaysia






