KUALA LUMPUR: Pertembungan dua beregu negara bakal mencuri tumpuan di suku akhir Malaysia Masters 2025 apabila pasangan No. 2 dunia,Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan turun menentang rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, hari ini.
Pertemuan yang dianggap ‘perang saudara’ itu dijangka berlangsung sengit selepas kedua-dua pasangan menunjukkan peningkatan prestasi dan kini selangkah ke separuh akhir.
Sze Fei berkata, pertembungan antara rakan senegara ini memberi petunjuk yang positif yang menunjukkan bahawa beregu lelaki negara memberi persaingan sihat terutamanya di laman sendiri.
“Ya, saya rasa ini petunjuk yang baik lah untuk beregu lelaki Malaysia dan saya rasa esok (hari ini) kedua-dua pihak akan buat yang terbaik.
“Kami tahu setiap hari suasana berbeza, jadi kami hanya mahu kekalkan fokus dan cuba keluarkan bentuk permainan terbaik kami,” kata Sze Fei kepada pemberita selepas perlawanan di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.
Kemenangan ke atas Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh dari Taiwan 21-19, 21-13 semalam menjadi tonik terbaik buat mereka yang kini hanya tinggal satu kemenangan untuk kembali ke pentas separuh akhir selepas lapan tahun kejohanan berkenaan.
Dalam pada itu, Wei Chong berkata, kunci kemenangan mereka untuk mengatasi beregu utama negara itu adalah mengekalkan konsistensi dan memperbaiki permainan mereka sendiri.
“Kita kena bersedia dan yang paling penting perancangan permainan. Kalau kita kekalkan prestasi kita supaya kita lebih yakin.
“Kita harus mengubah permainan kita sebab mereka sudah berada di pemain ranking kedua terbaik dunia. Jadi mereka ada kekuatan sendiri dan kami harus berbincang strategi kami esok (hari ini),” kata Wei Chong.
Untuk rekod, Wei Chong-Kai Wun tewas pada dua pertemuan mereka sebelum iaitu pada Terbuka Jerman 2022 dan Terbuka China tahun lalu. – UTUSAN






