PETALING JAYA: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkan pelan pembangunan badminton negara pada Ogos ini yang akan membawa sukan itu ke tahap lebih tinggi.
Beliau yang mula menerajui badan induk itu sejak Mei tahun ini berkata, pelan tersebut mengandungi perancangan yang akan membawa badminton Malaysia ke tahap lebih tinggi dengan sasaran mencapainya dalam jangka masa tiga tahun akan datang, lima dan 10 tahun.
“Sekarang kita sudah ada satu pasukan untuk melihat perkara ini, dan saya harap menjelang akhir Ogos, saya boleh kongsikan rancangan tersebut dengan anda semua.
“Pada saya, dengan sokongan daripada ahli-ahli majlis, pemain-pemain serta semua pihak berkepentingan, rancangan ini boleh menjadi pelan yang akan membawa pasukan badminton kita dan juga badminton di Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya yang sebelum itu mengadakan pertemuan dengan pihak media di sini, hari ini.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan semua pihak berkepentingan dalam sukan tersebut untuk melihat pelan yang dirancang membuahkan hasil.
“Walaupun ada pandangan yang berbeza, hakikat bahawa mereka mahu berkongsi pandangan menunjukkan mereka mahu lihat peningkatan dalam sukan ini. Kadang-kadang kita bersetuju, kadang-kadang tidak.
“Tapi bagi saya, yang positif bukan tentang idea mana yang betul atau salah. Bagi saya, semua orang nampaknya mahu lihat sukan ini, badminton menjadi lebih baik. Itu sesuatu yang sangat positif bagi saya.
“Dan saya harap menjelang akhir Ogos, bila saya bentangkan pelan tersebut sama ada bersetuju atau tidak, kita semua perlu bersatu dan memastikan pemain kita dan sukan badminton terus menjadi antara kisah kejayaan utama dalam dunia sukan Malaysia,” ujarnya.
Menurut Tengku Zafrul, beliau juga tidak akan menyembunyikan siapa yang ditemui semasa mendapatkan input penyediaan pelan berkenaan termasuk daripada bekas pemain sendiri semasa membentangnya kelak.
“Jadi sekurang-kurangnya bila saya sebut pihak berkepentingan, orang ramai mahu tahu siapa yang saya jumpa. Jadi buat masa sekarang, tidak mengapa, sebab saya rasa mereka bimbang kalau perbincangan itu dikaitkan dengan individu tertentu.
“Yang boleh saya katakan, perbincangan itu tidak akan saya kaitkan dengan individu tertentu, tapi saya tetap akan berkongsi siapa yang saya temui,” katanya yang turut menjadikan kejayaan negara-negara tertentu dalam sukan ini sebagai rujukan.
Menurut Tengku Zafrul, apa yang penting dalam melakukan transformasi ialah memahami hala tuju yang ingin dicapai berdasarkan kedudukan semasa.
“ Ada pelbagai peringkat. Pertama, kalau kita nak buat transformasi, pertama sekali kita perlu faham ke mana kita nak pergi. Tapi untuk faham ke mana kita nak pergi, kita mesti faham di mana kita berada hari ini.
“Bila kita kata di mana kita berada hari ini, maksudnya kita kena buat penilaian menyeluruh. Apa kedudukan kita dari segi kewangan, struktur pentadbiran, pemain, jurulatih. Jadi, di manakah kita sekarang?
“Katakanlah kita beri penilaian terhadap diri sendiri. Kalau kita beri penilaian hari ini pada tahap dua, ke mana kita mahu pergi,” katanya yang turut memberitahu akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Majlis Sukan Negara (MSN) dalam masa terdekat. – UTUSAN






