KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengintai sekurang-kurangnya dua wakil negara menjejakkan kaki ke pentas final Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris hujung bulan ini.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan, sasaran itu diletakkan berdasarkan reputasi semasa dua beregu utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah yang kini menghuni ranking kedua dunia.
“Kita tidak umumkan sasaran rasmi tetapi secara realistik, saya percaya mereka mampu melangkah sekurang-kurangnya ke final kerana kedudukan ranking yang tinggi dan prestasi konsisten musim ini.
“Saya fikir Aaron–Wooi Yik wajib sekurang-kurangnya sampai final manakala Pearly–Thinaah juga ada peluang besar memenangi kejuaraan berdasarkan prestasi semasa mereka,” kata Zafrul kepada pemberita selepas mesyuarat ahli majlis di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Undian kejohanan itu bagaimanapun meletakkan Aaron–Wooi Yik di laluan berliku apabila dijangka menentang sama ada gandingan China, Liang Wei Keng–Wang Chang atau beregu India, Satwiksairaj Rankireddy–Chirag Shetty seawal suku akhir.
Jika melepasi halangan itu, pasangan negara berdepan tugasan getir menentang rakan senegara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin di separuh akhir untuk merebut tiket ke pentas final.
Sementara itu, Pearly–Thinaah pula dijangka berdepan cabaran Indonesia, Lanny Tria Mayasari–Siti Fadia Silva Ramadhanti selepas melepasi halangan wakil Hong Kong di pusingan kedua. – UTUSAN






