PETALING JAYA: Deportivo Alaves memberi ‘lampu hijau’ kepada pemain warisan negara, Facundo Garces untuk kembali menjalani latihan dan beraksi bersama kelab itu dalam saingan La Liga.
Dalam satu kenyataan, kelab Sepanyol itu memaklumkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menerima permohonan Garces untuk penggantungan sementara hukuman dalam tempoh menunggu rayuan terhadap sekatan yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Kes berkenaan membabitkan hukuman penggantungan selama 12 bulan yang dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 25 September 2025, sebelum keputusan itu dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November 2025.
Menurut resolusi CAS, penggantungan 12 bulan merangkumi semua aktiviti berkaitan bola sepak digantung buat sementara waktu, sekali gus menyaksikan hukuman berkenaan tidak akan dikuatkuasakan selagi CAS meneliti merit penuh rayuan terbabit.
“Dalam tempoh sementara ini, Garces dibenarkan menjalankan tugas profesionalnya seperti biasa. Sehubungan itu, Deportivo Alaves mengesahkan pemain ini akan kembali menyertai sesi latihan pasukan dengan serta-merta,” menurut kenyataan pasukan itu.
Terdahulu, tujuh pemain kebangsaan yang digantung 12 bulan oleh FIFA sebelum ini iaitu Garces, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel boleh kembali beraksi dan meneruskan karier bola sepak mereka.
Perkembangan itu dimaklumkan FAM yang mengesahkan CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan (stay of execution) yang dikemukakan oleh tujuh pemain warisan Harimau Malaya itu.
Sementara itu, Holgado dan Palmero antara pemain yang meluahkan rasa gembira apabila FAM mengesahkan CAS menggantung sementara hukuman penggantungan dikenakan ke atas mereka.
Bagi Holgado, keputusan CAS itu seakan-akan memberi harapan baharu selepas melalui hari yang begitu gelap sebelum ini tanpa sebarang aktiviti bola sepak.
“Apabila tidak dijangka, matahari muncul semula dan semuanya kembali baik. Tiada ribut yang kekal selamanya,” katanya.
Sementara itu, Palmero pula seakan-akan tidak sabar untuk kembali beraksi selepas digantung beberapa bulan sebelum ini.
“Kami kembali,” tulisnya ringkas tetapi cukup bermakna di media sosialnya. – UTUSAN






