PETALING JAYA: Kepulangan Facundo Garcés ke dalam skuad Deportivo Alavés nyata memberi impak segera apabila membantu pasukannya mencatat kemenangan 2–1 ke atas Espanyol dalam aksi La Liga di Stadium RCDE, semalam.
Bek kelahiran Argentina itu kembali beraksi selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan penggantungannya buat sementara waktu, sekali gus membuka laluan untuk dia diturunkan semula selepas kali terakhir beraksi pada September lalu.
Garcés dimasukkan pada awal babak kedua menggantikan Carlos Protesoni, dan kehadirannya terus menstabilkan benteng pertahanan Alavés yang sebelum itu berdepan tekanan tuan rumah.
Sepanjang 45 minit berada di padang, Garcés mempamerkan aksi berani dan agresif, mematahkan setiap percubaan Espanyol untuk kembali mengancam gawang Alavés sehingga wisel penamat.
Pengendali Alavés, Eduardo Coudet, tidak berselindung daripada memuji pemain berusia 27 tahun itu, menyifatkannya sebagai elemen penting yang lama dirindui pasukan.
“Garcés seperti kamikaze. Mentalitinya luar biasa dan kehadirannya sangat penting, khususnya di bahagian pertahanan.
“Walaupun hanya bermain satu babak, dia berjaya menutup ruang dan menafikan ancaman lawan,” katanya.
Kemenangan tersebut bukan sahaja menghadiahkan tiga mata berharga buat Alavés, malah mengukuhkan keyakinan pasukan menjelang perlawanan-perlawanan seterusnya, dengan Garcés dijangka kembali memainkan peranan besar sekiranya penggantungan terus ditangguhkan. – UTUSAN






