BARCELONA: Barcelona dilaporkan merancang menjana sumber kewangan mereka melalui penjualan pemain pada jendela perpindahan musim panas ini bagi memastikan khidmat penyerang England, Marcus Rashford dapat dikekalkan.
Pemain pinjaman dari Manchester United itu berpindah ke Catalonia pada musim panas lalu dan telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sekali gus kembali mendapat tempat dalam skuad England kendalian Thomas Tuchel.
Dalam usaha merombak bahagian serangan mereka pada musim panas ini dan mengekalkan pemain antarabangsa England itu, Barcelona kini mempertimbangkan untuk meletakkan Ferran Torres di pasaran perpindahan.
Sebelum ini, Rashford mengakui dia mahu terus kekal di tempat bahagianya iaitu di Barcelona.
“Sudah tentu itulah yang saya mahukan,tetapi itu bukan sebab utama saya berusaha keras.
“Sebabnya adalah kerana saya mahu menang. Barcelona adalah kelab yang hebat. Kelab yang terkenal dengan kemenangan dan tekanan seperti ini, saya mahu katakan tekanan tetapi ia bukan tekanan yang buruk.
“Ia adalah tekanan yang anda nantikan dan tekanan yang saya mahukan sepanjang bermain bola sepak. Jika saya berada di kelab yang tidak menuntut perkara ini, maka lebih sukar untuk saya bermotivasi. Ia adalah persekitaran yang hebat untuk saya meneruskan perjalanan bola sepak saya,” kata Rashford.
Barcelona turut dilaporkan berminat untuk melanjutkan kontrak penyerang veteran, Robert Lewandowski apabila kontrak bintang dari Poland itu tamat pada musim panas ini. – AGENSI/UTUSAN






