MANCHESTER: Marcus Rashford menerima nombor jersi baharu selepas kembali menyertai Manchester United, perkembangan yang mungkin memberi petunjuk tentang masa depannya bersama kelab itu.
Biarpun situasi itu belum mengesahkan Rashford akan kekal sebagai pemain United musim ini, The Red Devils memberi petunjuk bahawa dia mungkin berada dalam perancangan selepas memberinya nombor jersi baharu.
Penyerang itu tidak dapat kembali memakai jersi nombor 10 kesayangannya selepas nombor berkenaan diberikan kepada Matheus Cunha sebaik tiba dari Wolves musim panas lalu.
Malah, jersi nombor 19 dan 39 yang pernah dipakai Rashford Ketika di Old Trafford kini sudah menjadi milik pemain baharu, Bryan Mbeumo dan Tyler Fletcher.
Bagaimanapun, menurut kelab itu, Rashford akan memakai jersi nombor 14 yang digunakannya ketika di Barcelona dan lazimnya diberikan kepada pemain penting skuad utama.
Di United, jersi nombor 14 sebelum ini pernah dipakai Christian Eriksen, Jesse Lingard dan Javier Hernandez.
United dikatakan memilih nombor berkenaan sebagai mesej kepercayaan terhadap Rashford serta petanda bahawa dia akan diserapkan semula dalam skuad utama di Old Trafford, kecuali persetujuan dapat dicapai dengan kelab lain.
Beberapa kelab dari Turkiye dan Arab Saudi sudah menghubungi Rashford, namun dia mahu beraksi bersama kelab Eropah ternama bagi memastikan peluangnya kekal dalam skuad England.
Rashford turut dikaitkan dengan Arsenal dan Tottenham, namun perkembangan terbaru menunjukkan dia berkemungkinan kembali memperkuat kelab zaman kanak-kanaknya itu musim ini.
Selepas beraksi pada Piala Dunia, Rashford akhirnya kembali menjalani latihan pada Ahad, sekali gus menyertai semula skuad The Red Devils buat kali pertama dalam tempoh lebih 18 bulan.
Dia kelihatan ceria ketika mengambil gambar bersama penyokong dan melayan permintaan untuk menandatangani autograf.
Pengendali United, Michael Carrick mengesahkan Rashford akan berada dalam skuad bagi dua perlawanan persahabatan terakhir pra-musim.
“Kami akan mempunyai skuad lengkap minggu depan di Dublin.
“Kami terus terbang ke sana dan bertemu Leeds pada Rabu. Kami mempunyai beberapa hari di Dublin dengan keseluruhan skuad, termasuk Marcus, Kobbie [Mainoo] dan Lisandro [Martinez].
“Saya pernah bermain bersamanya. Saya beraksi dalam perlawanan ketika dia melakukan penampilan sulung, jadi kami mempunyai sejarah,” kata Carrick. – AGENSI/UTUSAN
CAPTION
Marcus Rashford






