MANCHESTER: Pengendali sementara Manchester United, Michael Carrick menegaskan dia tidak terganggu dengan tindakan kelab itu yang masih menilai beberapa calon lain bagi jawatan ketua jurulatih tetap.
Walaupun Carrick kini dilihat sebagai pilihan utama selepas membantu United menempah tempat ke Liga Juara-Juara, pengurusan kelab masih belum membuat keputusan muktamad dan dijangka meneliti beberapa pilihan dalam beberapa minggu akan datang.
Bagaimanapun, bekas pemain tengah England itu berkata, situasi berkenaan tidak menjejaskan fokusnya dalam mengemudi pasukan.
“Tidak, secara jujurnya tidak. Sama ada ia dibincangkan atau tidak, ia tidak mengganggu saya. Ia tidak mengubah cara saya bekerja. Saya yakin dengan apa yang kami lakukan bersama pemain dan dalam memimpin kelab ini,” katanya.
Carrick turut menegaskan bahawa proses pemilihan ketua jurulatih merupakan perkara biasa dalam bola sepak moden.
“Saya fikir ia jelas bahawa ini satu proses dari awal untuk mencari individu yang tepat bagi jawatan ini,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa pemain utama termasuk Casemiro dan Matheus Cunha dilaporkan menyatakan sokongan terbuka agar Carrick dikekalkan selepas mencatatkan 10 kemenangan daripada 14 perlawanan terakhir.
Mengulas mengenai sokongan tersebut, Carrick menegaskan kepimpinan sebenar diukur melalui tindakan di atas padang.
“Seorang jurulatih hanya menjadi pemimpin jika pemain mahu mengikut arahannya. Ia bukan sekadar kata-kata, tetapi tindakan yang membuktikannya. Apabila saya melihat pemain bersatu di atas padang, itu perkara paling penting,” katanya. – AGENSI/UTUSAN






