MANCHESTER: Pengurus interim Manchester United, Michael Carrick menegaskan beliau tidak terganggu dengan persoalan mengenai masa depannya di Old Trafford, sebaliknya lebih fokus memastikan pasukan menamatkan musim dengan penuh bergaya.
Bekas tonggak tengah berusia 44 tahun itu kembali ke kelab lamanya sebagai pengendali sementara sehingga akhir musim susulan pemergian Ruben Amorim pada Januari lalu.
Di bawah bimbingannya, United menunjukkan peningkatan prestasi ketara sehingga berjaya mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara Eropah lebih awal selepas menewaskan Liverpool 3-2 hujung minggu lalu.
Namun begitu, kedudukan jangka panjang Carrick masih menjadi tanda tanya dan dijangka memberi kesan terhadap perancangan perpindahan kelab musim panas ini.
“Kejelasan itu penting. Tapi pada masa ini, kami baru sahaja melengkapkan satu fasa penting musim dan berada dalam kedudukan yang baik,” katanya menjelang perlawanan menentang Sunderland, malam ini.
“Isu mengenai peranan saya akan diselesaikan pada masa yang sesuai. Seperti yang telah dibincangkan sejak awal, ia memang akan diputuskan menjelang penghujung musim. Jadi tiada apa yang berubah.
“Perkara itu baru sahaja berlaku. Fokus saya sekarang adalah untuk memastikan pasukan menamatkan musim dengan kuat. Selebihnya akan ditentukan kemudian,” jelasnya.
Dalam pada itu, beberapa pemain United dilaporkan menyokong penuh kepimpinan Carrick, termasuk Kobbie Mainoo yang menyifatkan skuad sedia “berjuang habis-habisan” untuk pengendali interim itu selepas jaringan kemenangan menentang Liverpool.
United kini hanya berbaki tiga perlawanan sebelum menutup musim yang penuh dramatik di bawah kendalian sementara Carrick. – AGENSI/UTUSAN






