DALAM dunia perfileman, ada festival yang gah kerana permaidani merah, deretan selebriti dan limpahan dana. Ada pula festival yang membina nama secara perlahan-lahan, berbekalkan keyakinan filem ialah wadah budaya, bukannya sekadar hiburan.
Festival Filem Raintown (RFF) di Taiping, Perak, tergolong dalam kelompok kedua. Bermula pada 2024, festival ini tidak cuba bersaing dengan festival filem serantau dari segi kemewahan.
Sebaliknya, ia berusaha membina sebuah ruang yang intim, jujur dan mesra untuk pembikin filem bebas serta khalayak yang benar-benar mencintai sinema.
Dalam tempoh hanya tiga tahun, festival yang diasaskan oleh anak muda kelahiran Aulong, Jacky Yeap berkembang menjadi sebuah platform yang semakin diyakini oleh pembikin filem seluruh negara.
Jumlah penyertaan bagi pertandingan filem pendek meningkat daripada 103 karya pada 2025 kepada 152 karya tahun ini, sekali gus membuktikan komuniti filem bebas mengiktiraf RFF sebagai pentas yang bermakna.
Saya gembira berpeluang menyertai dua festival lalu serta akan datang pada 4 hingga 6 September ini. Pada penelitian saya, keistimewaan RFF terletak pada falsafahnya.
Festival ini tidak hanya menayangkan filem. Programnya merangkumi sesi wacana, bengkel, tayangan di luar, lawatan berpandu dan pertandingan filem pendek.
Filem dijadikan pintu masuk untuk mengenali bandar, sejarah, seni bina, alam semula jadi dan masyarakat Taiping.
Pendekatan ini menjadikan pengalaman menonton filem tidak terhad kepada ruang pawagam, sebaliknya berkembang menjadi pengalaman budaya yang menyeluruh sebagaimana diimpikan oleh Jacky dan pasukannya.
Antara daya penarik kali ini ialah filem Lelaki Harapan Dunia (2014) arahan Liew Seng Tat serta esei video Tomorrow, Tomorrow, Tomorrow … and Tomorrow (2022) oleh Amir Muhammad.
Pemilihan tempat kelahiran saya, Taiping sebagai lokasi festival juga amat signifikan. Bandar yang sinonim dengan hujan ini mempunyai identiti yang sukar ditiru. Hujan bukan sekadar fenomena cuaca di sini. Hujan menjadi metafora ingatan, kesabaran, pembaharuan dan kehidupan.
Malah, tema pertandingan filem pendek kali ini, ‘After the Rain’, jelas memperlihatkan bagaimana unsur alam dijadikan inspirasi kepada proses penciptaan seni.
Tema pertandingan pada tahun lalu pula ‘Before the Rain’. Umum mengetahui, Taiping ialah bandar warisan yang kaya dengan lapisan sejarah. Dari Taman Tasik Taiping hingga ke bangunan kolonial, dari Bukit Larut hingga ke pelbagai warisan budaya masyarakat berbilang kaum, Taiping memiliki ‘mise-en-scène’ semula jadi yang sukar diperoleh di tempat lain.
Dalam konteks ini, RFF turut mengubah cara kita melihat pelancongan budaya. Biasanya, pelancong datang untuk menikmati makanan atau membeli-belah. Sebaliknya, festival ini mengajak pengunjung datang untuk menonton filem, berbincang tentang seni, bertemu pembikin filem dan akhirnya mengenali Taiping dengan lebih mendalam.
Seni menjadi pemangkin ekonomi tempatan, manakala Taiping memberi jiwa kepada seni.
Hasil perbualan dengan Jacky, impian anak muda berumur 34 tahun ini amat jelas sejak awal. Dia bukan sekadar mahu menganjurkan sebuah acara tahunan, sebaliknya mahu membina satu ekosistem.
Jacky dan anak-anak muda dalam pasukannya mahu pembikin filem Malaysia mempunyai ruang untuk berkarya, mempersembahkan hasil kerja kepada khalayak daripada pelbagai latar belakang, berdialog dengan pengarah berpengalaman dan membina jaringan profesional.
Hakikat ini saya perhatikan sendiri sejak kali pertama menyertai RFF serta komunikasi berterusan dengan pengasasnya.

CABARAN
Malangnya, menurut Jacky, RFF edisi 2026 merupakan kali ketiga dan mungkin juga yang terakhir. Berita ini tentulah mengecewakan ramai pencinta filem bebas. Sesuatu yang mula membuahkan hasil mungkin terpaksa dihentikan ketika semakin dikenali.
Hakikatnya, penganjuran festival filem bebas sentiasa berdepan cabaran berat. Soal kewangan merupakan cabaran paling nyata. Penajaan korporat lazimnya lebih cenderung kepada acara yang menjanjikan pulangan publisiti segera, sedangkan festival filem bebas seperti RFF membina impak secara perlahan tetapi mendalam.
Cabaran kedua ialah tenaga manusia. Kebanyakan festival bebas bergantung pada sekumpulan kecil individu yang memikul pelbagai tanggungjawab serentak.
Apabila keletihan mula mengatasi idealisme, kesinambungan festival menjadi semakin sukar dipertahankan.
Cabaran ketiga pula pembinaan khalayak. Tidak semua orang sanggup membeli tiket untuk menonton filem eksperimental, dokumentari atau karya pendek.
Walaupun semua tayangan sepanjang RFF adalah percuma, namun sambutan belum mencapai tahap seratus peratus.
Cabaran keempat yang saya perhatikan ialah kesinambungan institusi. Banyak festival bergantung pada visi seorang individu. Apabila individu itu berundur atas apa-apa alasan, seluruh festival turut terhenti. Situasi beginilah yang perlu dielakkan jika Malaysia benar-benar mahu membina budaya festival filem yang mapan.
Namun, berakhirnya RFF tidak semestinya bermakna berakhir juga impian Jacky. Sebaliknya, pengalaman selama tiga tahun ini boleh menjadi model kepada bandar-bandar lain. Misalnya, Pesta Filem Kota Bharu akan berlangsung pada 18 hingga 20 September ini.
Betapa baik jika pihak berkuasa tempatan (PBT), universiti, badan kebudayaan, agensi kerajaan dan sektor swasta turut melihat festival filem sebagai pelaburan budaya, bukannya sekadar acara hiburan.
Festival seperti RFF terbukti berjaya melahirkan pembikin filem, membentuk penonton yang lebih kritis, menghidupkan ekonomi kreatif dan memperkenalkan lokasi festival kepada dunia melalui naratif yang lebih bermakna.
Sekiranya masih gagal mendapat sokongan dana dan tenaga, RFF mungkin berakhir pada tahun ini. Namun, jika semangat yang dibawa oleh Jacky dan pasukannya terus hidup dalam kalangan pembikin filem muda dan pencinta seni, maka tirai sebenarnya belum ditutup.
Sebagaimana hujan di Taiping sentiasa kembali selepas langit cerah, begitu jugalah harapan sentiasa mempunyai jalan untuk turun semula ke muka bumi.
Barangkali, sambutan hangat orang ramai akan mengembalikan semangat anak-anak muda ini untuk meneruskan RFF pada tahun hadapan.
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).






