Pada 12 Ogos lalu, dunia menyambut Hari Belia Antarabangsa 2026, satu tarikh penting yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai wadah memperkukuh suara, peranan dan potensi generasi muda dalam mencorakkan masa depan dunia.
Dalam mendepani dunia yang semakin mencabar, generasi muda mesti berusaha keras bukan hanya untuk memajukan diri tetapi juga menggerak serta memimpin rakan belia lain menggembleng tenaga bagi mencapai kejayaan bersama.
Hasrat ini sering diutarakan dalam tulisan saya sejak dahulu lagi, dan seperti kebanyakan belia, saya juga mahu berusaha mengangkat martabat golongan ini. Alhamdulillah, saya diberi banyak peluang menerokai dunia aktivisme dan pemerkasaan belia sejak tahun pertama menyambung pengajian di universiti.
Penglibatan dalam gerak kerja ini mendedahkan saya kepada pelbagai pengalaman, daripada menjalankan acara santun masyarakat, kepada menjadi juri bagi pertandingan projek-projek kemampanan, hingga kini mengajar tentang penglibatan masyarakat di universiti.
Kita perlu memahami ragam, perilaku dan corak pemikiran belia yang sentiasa berubah mengikut zaman, termasuk pelbagai faktor yang membentuk cara mereka melihat dunia. Dalam mendepani cabaran yang semakin kompleks, pendekatan lama tidak lagi memadai, sebaliknya kita perlu berani berfikir di luar kotak dan mencari penyelesaian yang lebih segar, kreatif serta sesuai dengan realiti semasa.
BUKAN SEKADAR MEMBERI KUASA
Hal ini penting agar kita bukan sahaja memahami kepentingan memperkasa dan menyokong golongan belia dalam menentukan hala tuju mereka, malah memastikan setiap langkah yang dirangka benar-benar tepat, berkesan dan menepati keperluan semasa.
Perkara inilah antara inti pati perbincangan dalam seminar maya khas oleh Institut Pengajian Termaju Kemampanan, Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU-IAS) sempena Hari Belia Antarabangsa 2026 baru-baru ini, di mana saya dijemput sebagai salah seorang pemudah caranya.
Program tersebut turut mengetengahkan keadaan realiti semasa yang mana ramai dalam kalangan belia hari ini tidak berani mengambil langkah untuk melakukan perubahan kerana kurang keyakinan diri atau dengan tingkah sendiri.
Sedangkan hari ini kita memerlukan belia yang lebih matang dan terkedepan kerana generasi akan bersilih ganti. Sekiranya tidak mula memperkasakan generasi seterusnya, maka masa depan dunia akan kelam dan penuh masalah.
Dalam banyak keadaan, golongan belia memerlukan sokongan, landasan dan bimbingan yang tepat supaya mereka bukan hanya berani melangkah ke depan tetapi juga akan bertindak dengan bijaksana dan berhemah.
Ini penting kerana keberanian itu harus berlandaskan kebijaksanaan dan kematangan, bukannya bertindak secara dangkal di luar batas abad atau undang-undang yang akibatnya bukan hanya merugikan diri mereka sendiri, malah juga menyusahkan masyarakat.
Saya banyak belajar daripada tugas di lapangan dengan terlibat dalam program secara bersemuka dan maya di peringkat antarabangsa. Peluang paling berharga ialah apabila saya dilantik UNU-IAS sebagai ahli Jawatankuasa Penulis Perisytiharan Okayama 2025.
Kekerjasama dengan pakar-pakar dari UNU-IAS memberikan saya ilmu, pengalaman dan perspektif yang amat bernilai. Namun, di sebalik peluang tersebut terselit tanggungjawab besar yang menjadi ujian buat saya untuk terus bekerja keras, memperkukuh keupayaan dan menunaikan amanah yang diberikan sebaik mungkin.
Usaha dan peluang sebegini penting dan memberi makna besar dalam membina keyakinan dan membangkitkan semangat belia untuk melangkah ke pentas yang lebih besar. Malah, sokongan seperti ini penting bagi memastikan kita dapat membina generasi masa depan yang terkedepan dan bertanggungjawab.
Atas rasa tanggungjawab itulah, pada hari ketiga Persidangan Wikimania 2026 di Paris bulan lalu, peserta belia dari seluruh dunia berhimpun bagi membincangkan hala tuju, peranan dan usaha memperkasa gerakan belia dalam gerakan Wikimedia, khususnya dalam memperjuangkan penyebaran ilmu yang terbuka dan boleh diakses oleh semua.
Kami mahu melahirkan dampak positif bukan hanya kepada gerakan kami sahaja tetapi juga kepada golongan belia di seluruh dunia.
Kami bukan berhimpun untuk bersantai dan bersuka ria. Sebaliknya, menggunakan peluang yang ada untuk mengenal pasti cabaran dan membincangkan langkah yang harus diambil bagi mengatasi masalah.
Perkara ini penting dalam konteks pendidikan dan kepimpinan kerana kedua-duanya sangat bergantung kepada kebolehan serta kekuatan generasi seterusnya untuk meneruskan usaha kini.
Belia harus berjiwa besar, matang serta berani melangkah. Kita tidak boleh hanya tahu menuding jari menyalahkan orang lain tetapi mesti bersikap lebih proaktif. Belia harus bangkit memperkasakan belia.
Kami tidak inginkan masyarakat selama-lamanya menganggap belia sebagai golongan yang tidak sabar, sering bertindak secara kejam serta ganas, suka bentak-membentak dan cenderung bersikap kasar.

TERPERANGKAP DALAM JIWA ANAK KECIL
Malang sekali jika atas nama pemerkasaan belia, kita sibuk menuntut suara didengari, namun pada masa yang sama masih terperangkap dalam cara fikir dan tindakan seperti anak kecil.
Antara kerisauan yang banyak dibangkitkan rakan belia dalam gerakan Wikimedia ialah penularan idealisme anarki . Penularan ini meracuni pemikiran golongan muda akibat terpengaruh dengan tokoh pempengaruh yang membawa konsep setiap orang berhak melakukan apa-apa sahaja tanpa dihalang batasan undang-undang.
Dalam perbincangan ini, kami beruntung kerana mendapat bimbingan daripada penggerak yang lebih arif dan sangat berpengalaman, seperti Klára Joklová dari Republik Czech yang bukan sahaja berpengalaman membimbing komuniti belia dari Eropah tetapi juga komuniti kami dari rantau Asia-Pasifik yang baru tiga bulan ditubuhkan.
Beliau juga banyak mengingatkan kami untuk tidak melakukan tindakan terburu-buru tetapi masih memberi ruang untuk kami menerokai pilihan yang ada dan untuk membuat keputusan sendiri.
Inilah pemerkasaan yang sebenar, di mana kita bukan sekadar memberi kuasa dan tanggungjawab tetapi lebih penting lagi terus membimbing dan menyokong golongan muda.
Tanggungjawab ini juga harus digalas belia masa kini dalam memastikan generasi yang seterusnya akan terus diperkasa dari hari ini. Ini bermakna belia juga harus bersedia menjadi pembimbing belia kelak. Kita mesti mempunyai pandangan jauh dan wawasan demi kejayaan masyarakat sepanjang zaman.
Oleh itu, dalam pada menyambut usaha terhadap pemerkasaan belia, jangan pula kita terlampau berlagak angkuh dengan kebeliaan diri, kerana mereka juga tidak kekal belia selama-lamanya. –UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).






