SAYA mohon perhatian Datuk Seri Amirudin Shari berkaitan reformasi sistem pilihan raya yang boleh dipelopori Selangor dalam mengatasi politik identiti di Malaysia, iaitu dengan mewujudkan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang mirip Senarai Parti Tertutup Perwakilan Berkadar (CLPR).
Tepat sekali pandangan Menteri Besar Selangor itu dalam menggariskan politik identiti sebagai tema utama dalam kalangan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.
Persoalannya, bagaimana kecenderungan ini boleh diatasi? Pembentukan naratif yang lebih berkesan sememangnya penting tetapi adakah ia benar-benar mencukupi?
Pada hemat saya, politik identiti orang Melayu tidak lain tidak bukan ialah keresahan takut kehilangan kuasa akibat pendemokrasian.
Mengapa orang Melayu masih resah sedangkan menguasai institusi raja, kerajaan, Parlimen, perkhidmatan awam, tentera, polis, media, sekolah, universiti, dan ekonomi melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)?
Melayu resah bukan kerana mereka tidak berkuasa tetapi menyedari kuasa itu boleh hilang di bawah sistem pilihan raya First-Past-The-Post (FPTP). Sistem ini membolehkan kemenangan parti yang ditolak majoriti pengundi jika majoriti itu berpecah.
Melayu resah kerana pertukaran kerajaan dilihat berpotensi membawa perubahan dasar dan institusi secara mendadak tanpa mendapat persetujuan majoriti masyarakat Melayu.
Keresahan itu pula membuka ruang kepada pelbagai naratif yang menabur ketakutan dan kebencian terhadap masyarakat bukan Melayu serta parti politik berteraskan Melayu yang membawa pendekatan lebih inklusif seperti PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), selain DAP.
Sistem politik kita bersifat ‘majoritarian’, yakni memberi kuasa besar kepada pihak pemenang yang mendapat sokongan majoriti (melebihi 50 peratus) atau pluraliti (terbesar tetapi tidak mencecah 50 pertaus). Sistem ini menguntungkan orang Melayu apabila mereka menumpukan sokongan kepada satu parti, yakni, UMNO sehingga 2018.
Sistem dominasi ekapartai membawa padahnya sendiri, pegar yang sepatutnya menjaga padi akhirnya memakan padi, bahkan menggigit tuannya sendiri.
Siapakah mangsa dalam skandal Tabung Haji dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)? Melayu. Bukan DAP, bukan Cina, India, Kadazandusun atau Iban.
Inilah dilema orang Melayu, lebih tepatnya, orang kebanyakan Melayu, hari ini.
Sistem politik majoritarian ibarat meletakkan semua telur dalam satu bakul. Dengan hanya satu parti Melayu yang besar, bakul itu memang didominasi oleh orang Melayu tetapi telur-telur tersebut tetap berisiko dicuri oleh ‘penyakau’ dalam kalangan orang Melayu sendiri, sehingga akhirnya orang Melayu kebanyakan pula yang menanggung akibat dan kebuluran.
Apabila rasuah dan amalan ‘sakau’ melahirkan parti-parti serpihan serta mewujudkan persaingan dan semak imbang terhadap pembesar-pembesar Melayu, timbul pula ketakutan dalam kalangan orang Melayu bahawa persaingan sesama Melayu akhirnya akan membuka ruang kepada pihak lain untuk merampas bakul tersebut.
Antara dominasi ekapartian dan persaingan anekapartian, orang Melayu seolah-olah terperangkap dalam dilema ‘ditelan mati emak, diluah mati bapak’, memilih dominasi satu parti membawa risiko kuasa tanpa semak imbang, manakala persaingan banyak parti pula dibimbangi membuka ruang kepada pihak lain untuk mengambil alih kuasa.
Inilah dilema Melayu 2.0 yang belum muncul apabila Tun Dr. Mahathir menulis bukunya. Mangsanya bukan sahaja orang Melayu tetapi juga orang bukan Melayu.
Demi memupuk perpaduan Melayu, individu, institusi, agama, bahasa dan budaya minoriti sering menjadi sasaran dalam episod ‘perang budaya’ yang tidak berhenti-henti.
Maka, demi kepentingan orang Melayu khasnya dan orang Malaysia amnya, ‘Dilema Melayu 2.0’ ini mesti diatasi dengan mentransformasikan sistem politik kita daripada ‘demokrasi majoritarian’ ke ‘demokrasi muafakat’ yang mana kuasanya tidak lagi memusat tetapi dipencarkan antara cabang-cabang kerajaan (eksekutif, perundangan dan kehakiman) dan lapisan-lapisan kerajaan (Perseketuan, negeri dan tempatan) dan paling penting, dikongsi dengan pelbagai parti.
Demokrasi muafakat memberikan kuasa veto kepada pelbagai pihak dan memaksa musyawarah dan kompromi. Kerana Melayu adalah kumpulan majoriti, menjamin kuasa veto Melayu untuk menolak sebarangan perubahan mendadak yang merugikan Melayu.
Melayu tidak perlu resah sekalipun ada banyak parti Melayu kerana mereka boleh sentiasa bersaing dan berpakat pada bila-bila sahaja sekiranya kepentingan Melayu tergugat.

JALAN KELUAR
Demokrasi muafakat tidak mungkin wujud jika Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), kita cuma mempunyai kerusi FPTP. Kita perlukan kerusi CLPR di samping kerusi FPTP seperti di Thailand, Jepun, Taiwan dan Nepal.
Di negara-negara ini, rakyat mempunyai dua undi, satu undi memilih wakil rakyat tempatan FPTP seperti sistem sedia ada dan satu lagi undi untuk memilih sejumlah wakil rakyat dan bukan seorang, yang mana pengundi memilih parti sementara kerusi-kerusi ini akan diagihkan mengikut peratusan undi. Ini menjamin perwakilan parti-parti nasionalis Melayu sekalipun mereka bersaing sesama lain.
Malangnya, Perkara 116 dan 117 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa setiap kawasan Parlimen dan DUN cuma boleh memilih seorang wakil rakyat.
Jalan keluar untuk Malaysia berada di tangan Amirudin. Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang perlantikan ADUN tanpa pilihan raya.
Kini, lima negeri mempunyai ADUN lantikan iaitu di Sabah (6), Terengganu (4), Pahang (5), Johor (5) dan Melaka (7). Tetapi kesemua negeri ini menjadikan ADUN lantikan sebagai kerusi bonus untuk kerajaan. Dalam kata lain, ia tidak demokratik menjadikan sistem politik kita lagi majoritarian.
Sebagai ilustrasi, andaikan Selangor mewujudkan sembilan kerusi ADUN Lantikan Demokratik (ADUN-LD), menaikkan jumlah ADUN dari 56 ke 65, maka setiap gabungan/parti yang bertanding dalam PRN Selangor berhak menamakan sembilan orang calon dalam urutan yang tidak boleh diubah.
Selepas keputusan PRN diumumkan, sembilan kerusi ADUN-LD ini akan diagihkan antara gabungan/parti mengikut peratusan undi.
Kerajaan Selangor tidak memiliki majoriti dua pertiga, ini perlukan sokongan pihak pembangkang tetapi saya percaya Perikatan Nasional (PN) atau sekurang-kurangnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyokong reformasi sistem pilihan raya ini.
Andainya PRN16 Selangor wujud taburan undi seperti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yakni PH 53 peratus, PN (28 peratus) dan BN (17 peratus), PH akan dapat lima kerusi tambahan manakala PN dan BN masing-masing mendapat dua. Ini menguntungkan semua pihak.
Rambut kemas disikat,
Baju disulam indah berbenang,
Demokrasi biarlah bermuafakat,
Melayu tak resah Malaysia tenang.-UTUSAN
PROFESOR Wong Chin Huat ialah saintis politik di Universiti Sunway dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Projek Akauntabiliti dan Kestabilan untuk Malaysia (Projek SAMA).






