DALAM kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, landskap politik negara sekali lagi dicemari kenyataan berbaur perkauman yang mengundang pelbagai reaksi.
Ucapan seperti ini bukan sekadar mencetuskan polemik, malah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat majmuk yang sekian lama hidup dalam suasana aman dan saling menghormati.
Dalam sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian kaum, agama dan budaya, sentimen perkauman tidak seharusnya dijadikan modal meraih sokongan. Politik sepatutnya menjadi medan untuk menawarkan idea, dasar dan penyelesaian terhadap isu rakyat, bukannya menyemarakkan prasangka atau menanam rasa curiga antara komuniti.
Hakikatnya, politik berasaskan kaum bukanlah perkara baharu di Malaysia. Namun, dalam era yang menuntut kematangan demokrasi, pendekatan sedemikian semakin tidak sesuai. Retorik yang membangkitkan ketakutan atau kebencian hanya akan menghakis kepercayaan, merenggangkan hubungan sosial dan akhirnya menggugat kestabilan negara.
Persoalan yang perlu direnungkan ialah sejauh manakah masa depan politik Malaysia mampu berkembang jika kempen terus dibayangi naratif yang memecah-belahkan rakyat?
Keharmonian yang dinikmati hari ini bukan tercipta secara kebetulan. Ia lahir daripada proses panjang yang menyaksikan masyarakat pelbagai latar belakang belajar menerima perbezaan, menghormati kepelbagaian dan mencari titik persamaan.
Proses ini dikenali sebagai akomodasi budaya, iaitu usaha menyesuaikan perbezaan tanpa mengorbankan identiti masing-masing demi membina kehidupan bersama yang lebih harmoni.
Melalui pendekatan tersebut, setiap komuniti dididik supaya bertoleransi, menghormati adat resam dan kepercayaan orang lain, selain menyelesaikan perbezaan melalui dialog serta persefahaman.
Semangat kerjasama inilah yang menjadi asas kepada pembangunan negara dalam pelbagai bidang, termasuk politik, ekonomi dan pendidikan.
Malangnya, kenyataan berunsur perkauman mampu meruntuhkan asas yang dibina sejak sekian lama. Apabila kempen dipenuhi tuduhan berasaskan kaum, maka tumpuan terhadap isu sebenar seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan setempat akan terpinggir.
Lebih membimbangkan, naratif sedemikian mudah mempengaruhi generasi muda yang sedang membentuk pemahaman mereka terhadap politik dan kehidupan bermasyarakat.
Oleh itu, setiap pihak memikul tanggungjawab untuk memastikan budaya politik negara terus matang. Pemimpin perlu menunjukkan teladan dengan berkempen secara beretika, mengemukakan dasar jelas serta bersaing melalui prestasi dan idea, bukannya mengeksploitasi sentimen yang boleh memecahkan masyarakat.
Pada masa sama, media, institusi pendidikan dan pertubuhan masyarakat sivil perlu terus memperkukuh kesedaran tentang pentingnya perpaduan. Penyebaran ucapan kebencian tidak wajar diberikan ruang, sebaliknya lebih banyak usaha perlu digerakkan untuk mengangkat nilai saling menghormati, persefahaman dan kebersamaan.
Sejarah negara juga mengingatkan ketegangan antara kaum membawa kesan yang amat besar. Pengalaman lampau sewajarnya menjadi iktibar agar setiap generasi lebih berhati-hati dalam menjaga keharmonian yang telah dibina.
Keamanan bukan sesuatu yang boleh dianggap kekal, sebaliknya perlu dipelihara melalui sikap bertanggungjawab dan saling menghormati.
Dalam konteks PRN Negeri Sembilan, pilihan raya sepatutnya menjadi medan pertandingan yang sihat untuk menawarkan penyelesaian terbaik kepada rakyat.
Kematangan politik tidak diukur melalui kemampuan membangkitkan emosi atau menonjolkan perbezaan tetapi pada keupayaan menyatukan masyarakat di sebalik kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Abd Hakim Mohad ialah Pensyarah Pusat Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Penyelidik Tamu University of Bonn, Germany.






