APABILA ditanya mengenai cita-cita, berapa ramai pelajar mahu menjadi ahli agroteknologi, pakar biak baka, saintis tanaman atau usahawan pertanian pintar? Jawapannya mungkin tidak ramai.
Hakikatnya, persepsi terhadap sektor pertanian masih belum berubah. Bidang ini sering dikaitkan dengan kerja berat di bawah terik matahari, berlumpur, memerlukan tenaga fizikal dan pulangan yang tidak menentu. Sedangkan pertanian hari ini berkembang menjadi industri berteknologi tinggi yang menggabungkan sains, kejuruteraan, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan analisis data.
Persepsi inilah yang perlu diubah kerana masa depan keterjaminan makanan negara bergantung kepada generasi muda. Mereka ialah bakal penyelidik, teknologis, usahawan dan pengusaha yang akan menentukan keupayaan negara menghasilkan bekalan makanan sendiri pada masa depan.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila sektor pertanian semakin didominasi golongan berusia. Banci Pertanian 2024 menunjukkan hampir separuh pengusaha pertanian individu berumur 60 tahun ke atas, manakala golongan berusia 15 hingga 30 tahun hanya sekitar tiga peratus. Jurang ini memberi isyarat negara sedang berdepan kekurangan pelapis untuk meneruskan legasi pertanian.
Walaupun petani berpengalaman memiliki ilmu yang sangat bernilai, namun pengetahuan itu akan hilang jika tiada generasi baharu bersedia mewarisinya. Tanah, teknologi dan dasar yang baik tidak akan membawa manfaat tanpa tenaga kerja yang mempunyai minat serta kemahiran.
Usaha membina minat perlu bermula sejak di bangku sekolah. Walaupun penyertaan murid dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) semakin meningkat, namun cabaran sebenar bukan sekadar menambah bilangan pelajar tetapi membentuk keyakinan sains mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan dan peluang kerjaya.
Pertanian moden sendiri merupakan aplikasi langsung bidang STEM. Pembangunan varieti tanaman baharu memerlukan bioteknologi, pemantauan ladang menggunakan dron dan sensor bergantung kepada teknologi digital, manakala pengurusan air, baja serta hasil tanaman memanfaatkan automasi dan analisis data. Ertinya, pertanian bukan lagi pekerjaan tradisional, sebaliknya industri yang dipacu inovasi.
Malangnya, peluang pelajar mengenali bidang ini masih terhad. Mata pelajaran Sains Pertanian hanya ditawarkan di sekolah tertentu kerana kekangan guru, kemudahan dan bilangan murid. Akibatnya, ramai pelajar tidak pernah didedahkan kepada potensi sebenar sektor ini sebelum memilih laluan pendidikan atau kerjaya.
Sekolah sebenarnya tidak memerlukan ladang yang luas untuk memperkenalkan pertanian. Kebun mini, hidroponik, fertigasi, projek pengkomposan atau sistem penyiraman automatik sudah memadai bagi memberi pengalaman sebenar kepada pelajar. Lawatan ke pusat penyelidikan, ladang moden dan syarikat agroteknologi juga mampu membuka perspektif baharu tentang peluang yang tersedia.
Kerjasama antara sekolah, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pemain industri perlu diperkasakan supaya lebih ramai saintis, penyelidik serta usahawan muda dapat berkongsi pengalaman dengan pelajar. Pendedahan awal akan membantu mereka melihat pertanian sebagai bidang yang berasaskan ilmu, inovasi dan berpotensi menjana pendapatan tinggi.
Kerajaan sememangnya menyediakan pelbagai inisiatif seperti Program Agropreneur Muda dan latihan teknikal melalui agensi berkaitan. Namun, usaha menarik belia akan lebih berkesan jika minat telah dipupuk lebih awal. Apabila pelajar mula melihat pertanian sebagai kerjaya masa depan, negara bukan sahaja mampu melahirkan lebih ramai pengusaha muda, malah turut memperkukuh keterjaminan makanan dan daya saing sektor agromakanan untuk jangka panjang. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Shamsiah Abdullah ialah Dekan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Melaka.






