SETELAH berulang kali berjanji kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menurut Tan Sri Dr. Rais Yatim ungkapan ‘I will transfer the power to you itu buaiannya tidak kurang dari 11 kali’, pada 14 Februari 2020, Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersuara.
Di Langkawi ketika itu, Dr. Mahathir menafikan terbabit dalam sebarang kegiatan atau kumpulan yang cuba menghalang Anwar menggantikannya sebagai Perdana Menteri kelapan (PM8).
Kata beliau, hal itu turut dijelaskannya kepada Anwar dalam pertemuan mereka di Putrajaya pada 13 Februari (2020) dan mengakui kenyataan dikeluarkan Presiden PKR itu mengenai peralihan kuasa adalah benar.
Kata Dr. Mahathir lagi, beliau masih memegang janji akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November (2020).
Malangnya setelah tercetus ketegangan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada malam 21 Februari tahun berkenaan pun, Anwar masih juga menganggap ketegangan yang berlaku dalam mesyuarat itu sebagai biasa.
Tambah mengejutkan, kata beliau, apa yang penting bagi dirinya ialah tiada pihak yang mempertikai tentang proses peralihan kuasa akan berlaku antara beliau dengan Dr. Mahathir. Dan sehinggalah tiga hari kemudian iaitu tanggal 24 Februari 2020 itu, Anwar terpaksa berpijak di bumi nyata apabila Dr. Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan kurang seminggu dari itu iaitu 1 Mac, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah PM8.
BERPEGANG JANJI
Anwar barangkali tidak boleh dipersalahkan dalam isu perjanjian jawatan PM8 andai benar persetujuan dua tahun dalam rundingan asal kepemimpinan PH bersama Dr. Mahathir.
Lagipun adalah logik beranggapan begitu kerana PKR merupakan pemilik kerusi Parlimen terbanyak 50 kerusi dalam PRU14 berbanding hanya 26 milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – selain jentera PKR di bawahnya lebih cekap walaupun di sesetengah negeri, DAP mengatasi PKR.
Bahkan, isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail atau Kak Wan sendiri sebenarnya memiliki ruang dan peluang besar untuk ‘hijack’ jawatan nombor satu pada malam 9 Mei 2018 setelah Barisan Nasional (BN) tumbang.
Namun beliau tetap menolak tawaran itu kerana berpegang kepada janji bahawa Dr. Mahathir akan menjadi Perdana Menteri. Apabila Kak Wan merujuk kepada Anwar pun, Anwar juga bertegas mengarahkan Kak Wan berpegang pada keputusan awal beri laluan pada Dr. Mahathir.
Anwar juga insan biasa yang ada hati dan perasaan – berpegang kepada janji PM8 itu. Bukan sekali PM7 berjanji untuk menyerahkan jawatan PM kepadanya. Dan bukan sekali, bahkan masuk kali ketiga pertemuan empat mata Anwar dengan negarawan terbilang itu.
Cumanya, sudah menjadi rahsia umum pertentangan dan hubungan antara Dr. Mahathir dan Anwar berlangsung penuh suspens. Epik.
Sebelum tahun 1997 lagi, gandingan diakui akrab antara Dr. Mahathir dan Anwar masing-masing selaku Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Tak ubah macam ‘isi dengan kuku’.
Benar! Dr. Mahathir senang dengan Anwar semenjak beliau memasuki UMNO lagi pada 1982. Bimbingannya untuk menjadikan Anwar sebagai pengganti terang lagi bersuluh kepada semua terutama buat Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Anwar selalu berada dalam Kabinet dalaman Dr. Mahathir.
Bagaimanapun pemecatan Anwar pada 1998 mengakibatkan titik mula orang Melayu berpecah-belah dengan dikusutkan lagi tumbuhnya macam-macam parti Melayu yang terbahagi pula kepada kem-kem tertentu. Demonstrasi jalanan dan reformasi serta fitnah-memfitnah menjadi tular dari mulut ke mulut sebelum kritikal dengan kedatangan laman sosial.
KAREKTOR
Selepas 18 tahun berlalu, Dr. Mahathir akhirnya berjabat tangan dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 September 2016. Permusuhan dinoktahkan. “Beliau (Dr. Mahathir) sudah berubah dan komited terhadap agenda reformasi,” kata Anwar.
Gandingan Dr. Mahathir-Anwar serta parti-parti DAP, PKR, Bersatu dan Amanah dengan Dr. Mahathir selaku Pengerusi Bersatu menerusi strategi yang tersusun bersekali hembusan ‘tsunami rakyat’ akhirnya menumbangkan BN yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak dalam PRU14.
Sesiapa yang faham serta mengenali karektor Dr. Mahathir, tentu akur beliau sentiasa terus berpegang kepada prinsip My Way nyanyian Frank Sinatra – lakukan ikut cara saya seperti mana bait-bait lirik lagu itu, ‘I did it my way’. Dan Anwar pula tidak mahu tersadung lagi, dengan ‘berpandu’ Que sera sera (dendangan Doris Day) – “apa yang terjadi, terjadilah”. Pendek kata, “masa hadapan akan dicuba habis-habisan di bawah kawalan”.
Hari ini 2023, pertentangan Dr. Mahathir-Anwar terus dilaporkan oleh pihak media, kali ini pula berkisar bab “saman fitnah isu harta, aset diri dan bolot kekayaan”.
Walau apa lagu untuk menginspirasi, baik My Way atau Que sera sera kah, kita sebagai insan kerdil di atas muka bumi Allah SWT ini cukup insaf bahawa dalam lapangan politik – jangan dilupai nasib, jatuh bangun dalam politik adalah kehendak dan ketentuan-Nya.
Tiada sesuatu dalam politik yang kekal. Kawan boleh jadi lawan dan lawan boleh jadi kawan. Yang kekal hanya isu dan perjuangan. Yang dicari dan dipilih ialah perjuangan yang sentiasa mengenal diri. – Mingguan Malaysia






