SUP tulang babi iaitu bentuk asal bak kut teh yang diangkat sebagai makanan warisan yang kini sudah ada versi halalnya, tidak boleh sama sekali dikenali dengan nama asalnya itu. Ini kerana nama asal itu dalam bahasa Cina Hokkien akan selama-lamanya membawa pengertian tidak halal.
Walaupun perkataan bak bermaksud daging secara umumnya, yakni untuk apa-apa isi antara tulang dengan kulit pada mana-mana haiwan, ia secara khususnya bermakna daging babi dalam bahasa Cina Hokkien. Hal pemaknaan begini ikut wujud dalam bahasa Melayu. Ini dapat dilihat pada perkataan daging. Secara umumnya, ia merujuk kepada apa-apa jua daging, sama ada pada ayam, rusa dan seumpamanya. Pada masa yang sama, daging juga secara khususnya merujuk kepada daging lembu dan kerbau sahaja.
Dengan sistem pemaknaan sebegini, yakni yang boleh berperanan umum dan khusus secara sekali gus, sudah tentu penggunaan mana-mana perkataan begini, sama ada untuk bak atau daging, hendaklah betul-betul yang bersifat tidak sesekali mengelirukan, lebih-lebih lagi dalam ranah makanan. Justeru, ia hendaklah dielakkan sama sekali apabila dipastikan penggunaannya akan mengelirukan nanti.
Oleh itu, untuk bak kut teh yang mahu dikekalkan nama asalnya dalam bahasa Cina Hokkien oleh etnik Cina secara tiga perkataan itu, barangkali ia boleh dipanggil kut teh sahaja tanpa perkataan bak yang penuh ketaksaan itu. Ini kerana ia boleh sama ada membawa makna umum, iaitu sebarang jenis daging haiwan atau makna khusus, yakni daging babi sahaja.
Dengan nama baharu kut teh ini, ia masih membawa maksud asas makanan itu, iaitu sup jenis tulang yang kini boleh digantikan dengan mana-mana tulang haiwan lain untuk dinikmati oleh khalayak lebih luas, khususnya umat Islam. Walaupun namanya masih merujuk kepada apa-apa jua tulang yang merupakan bahan utama untuk isinya, ia boleh digantikan dengan apa-apa sahaja yang boleh dimakan dan mahu dicubakan, termasuklah cendawan dan pelbagai sayuran lain, selain daging apa-apa jua haiwan mahupun makanan laut.
Cara penamaan begini juga didapati selari dengan perkembangan lain sebelum ini dalam ranah makanan di negara ini. Antaranya sate yang boleh menggunakan sebarang daging haiwan dengan cara penyediaan lazim untuk sate. Terkini nasi kandar juga diinovasikan dengan penambahan lauk daripada babi dan mungkin lain-lain yang tidak halal kepada umat Islam.
Dalam hal nama baharu ini, kedua-dua pihak, iaitu etnik Cina sebagai pemilik makanan asal bak kut teh dan etnik Melayu yang merupakan pihak penerima dalam konteks negara Melayu Islam, hendaklah sama-sama berjiwa besar untuk berkompromi sekiranya ia tidak sesekali bercanggah dengan akidah mereka. Dalam kes ini, etnik Cina hendaklah bersedia menggugurkan perkataan bak yang boleh mengelirukan itu. Etnik Melayu pula harus menerima nama baharu ini, walaupun masih mengekalkan sebahagian nama lama. Ini kerana ia tidak mengelirukan lagi di samping tiada apa-apa yang bertentangan dengan agama dan budaya mereka.
Sehubungan penggunaan perkataan atau ungkapan bahasa Cina oleh mereka yang bukan Cina, lebih-lebih lagi dalam ranah rasmi dan formal, mereka hendaklah terlebih dahulu memastikan makna sebenarnya untuk berlaku sopan ketika menggunakannya. Ini dapat dilihat apabila ramai yang bukan Cina, misalnya etnik Melayu yang menggunakan ungkapan bahasa Cina Hokkien kepoh ci untuk merujuk kepada sesiapa yang menyibuk, yakni suka menjaga tepi kain orang.
Ungkapan Cina itu apabila diucapkan, antaranya oleh pengamal media secara sembang santai dalam beberapa rancangan radio sebenarnya adalah lucah, justeru tidak sopan. Ini kerana bentuk ci itu adalah sebutan awal kepada perkataan dua suku kata dalam bahasa Cina Hokkien yang merujuk kepada alat kelamin wanita. Dalam hal ini, sudah memadai hanya bentuk kepoh digunakan untuk merujuk kepada kaki sibuk tanpa dikaitkan dengan mana-mana jantina, yang selalu dihubungkan dengan perempuan sahaja.
Sebenarnya dalam kes bak kut teh, nama asalnya yang kini perlu diubah untuk menamatkan kontroversi yang timbul, adalah antara jalan terbaik untuk mewujudkan keadaan menang-menang. Bagi etnik Cina, ia masih mengekalkan sebahagian makna asalnya dalam bahasa Cina Hokkien, sementara untuk etnik Melayu, ia nama neutral yang tidak lagi membawa pengertian tidak halal.
Sebenarnya apa-apa jua nama yang neutral tidak akan menjadi masalah kepada etnik Melayu. Ini dapat dilihat pada cakoi yang sebenarnya kueh Cina yang namanya ialah yau ca kwai dalam bahasa Cina Kantonis. Ia bermaksud secara harfiah minyak goreng hantu, atau secara tepatnya hantu yang digoreng dengan minyak. Walaupun pengertian itu bersifat kurang senonoh, ia masih boleh diterima. Ini kerana ia tiada pengertian tidak halal.
Nama baharu kut teh ini sewajarnya merupakan antara cara rakyat Malaysia yang bukan Melayu dan Islam, boleh ikut menjayakan syiar Islam, khususnya kesuciannya, dalam konteks perjanjian etnik sewaktu mencapai kemerdekaan dahulu yang kini secara longgarnya dikenali sebagai kontrak sosial. Sehubungan ini, mereka bersetuju menerima Islam untuk diangkat sebagai agama persekutuan setelah diberikan kerakyatan oleh etnik Melayu.
Nama baharu ini dan segala macam tindakan lain pada masa hadapan oleh kelompok bukan Melayu dan Islam tentang ehwal yang ada kaitan dengan Islam, antaranya hendaklah dipastikan dikendalikan dalam konteks ini, yakni untuk menjayakan kontrak itu yang dipersetujui bersama secara melangsaikan bahagian masing-masing. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).






