PARLIMEN atau Dewan Rakyat memang suatu tempat yang istimewa. Di sinilah segala hal berkaitan dengan peraturan mentadbir negara dibentang, digubal, dibincang dan dibahas sebelum ia diangkat menjadi garis panduan untuk mengawal selia kita semua sebagai rakyat.
Di Parlimen segala hal berkaitan dengan isu-isu rakyat dibangkit dan dicari jalan penyelesaian. Daripada sekecil-kecil isu, sampai kepada yang besar-besar hingga membawa kepada penggubalan atau pindaan akta.
Sebab itu, mereka yang bergelar ahli Parlimen sepatutnya bukan calang-calang orang. Sebab itu setiap lima tahun ahli Parlimen dipilih melalui pilihan raya. Bukan sekadar untuk membentuk kerajaan, tetapi supaya mereka benar-benar mewakili rakyat.Membawa, membincang dan membahaskan isu-isu yang beri manfaat kepada rakyat, kepada negeri dan kepada negara.
Itulah yang ideal yang sepatutnya berlaku di dalam Parlimen. Namun, realitinya mungkin hanya 50 peratus yang dibincang dan digaduhkan adalah hal-hal rakyat dan negara. Selebihnya adalah politik untuk kepentingan peribadi dan kelompok tertentu sahaja.
Kerap juga Dewan Rakyat menjadi tempat untuk memfitnah antara satu sama lain. Melemparkan tuduhan-tuduhan palsu untuk mencemarkan dan merosakkan imej pemimpin dan individu atau kerajaan demi mencapai kepentingan politik.
Sebab ia berlaku kerana keistimewaan yang ada dalam Parlimen. Sebab itu, ia dipanggil Dewan Yang Mulia. Apabila para ahli Parlimen berada dalam dewan ini, setiap apa yang mereka tuturkan sama ada baik, buruk, jelek, tipu, fitnah, rekaan, cacian, maki, hamun dan sebagainya ada imuniti.
Apa saja yang keluar daripada mulut ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat mempunyai imuniti dan dilindungi di bawah Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan. Ia terletak pada Perkara 63(2) iaitu Ahli Parlimen tidak boleh dikenakan apa-apa prosiding mahkamah bagi apa-apa yang dikatakan semasa prosiding Parlimen.
Ini bermaksud, jika seseorang Ahli Parlimen mengeluarkan kenyataan yang dianggap fitnah dalam Dewan Rakyat, tindakan undang-undang sivil seperti saman fitnah tidak boleh dikenakan terhadap mereka. Tindakan hanya boleh diambil kepada mereka hanya melalui peraturan-peraturan yang terdapat dalam Dewan.
Antaranya, Peraturan Mesyuarat Dewan atau Standing Orders. Di mana Yang Dipertua Dewan boleh mengarahkan Ahli menarik balik kenyataan,mengarahkan Ahli duduk, menggantung Ahli daripada sidang (suspension) dan menegur atau memberi amaran. Itu sahaja.
Selalunya, ketika tindakan itu diambil kerosakan sudah pun berlaku. Fitnah itu sudah disebar di media sosial. Klip video sudah tersebar dan telah dianggap benar oleh rakyat.
Itu yang berlaku apabila seorang Ahli Parlimen yang juga pemimpin dihormati membuat kenyataan bahawa komando Maritim Malaysia telah melakukan serbuan ke atas Masjid Rusila di Marang.
Kemudiannya, ia disambut oleh seorang lagi Ahli Parlimen bahawa ia seolah-olah latihan untuk membunuh pemimpin tertentu. Sampai ke tahap itu. Apabila tuduhan seperti keluar daripada mulut pemimpin dan ia dibuat dalam Dewan Yang Mulia, rakyat menganggapnya sebagai benar. Maka sudah tentu ia membangkitkan kebencian kepada pihak yang kena tuduh. Orang yang buat tuduhan dapat apa? Sudah tentu dapat kemenangan politik. Walaupun fakta itu dibetulkan kemudian, tetapi ia sudah tidak viral. Kenyataan fitnah tadi yang diterima dan dicanang.
Tidak ada tindakan undang-undang boleh diambil seperti saman fitnah dan sebagainya kerana ia dilemparkan dalam Parlimen. Paling maksimum tindakan yang boleh diambil adalah dengan merujuk individu terbabit ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Ahli Parlimen yang didakwa melakukan penyalahgunaan keistimewaan atau membuat kenyataan palsu boleh dirujuk ke jawatankuasa, disiasat dan boleh dicadangkan hukuman tertentu oleh Dewan seperti digantung. Tindakan yang tidak memberi kesan apa-apa berbanding fitnah yang tersebar.
Satu lagi contoh fitnah adalah pada November 2024. Seorang Ahli Parlimen telah membuat tuduhan kononnya terdapat wang tunai RM94 juta di kediaman seorang bekas menteri daripada parti tertentu.
Tuduhan bersahaja tanpa bukti yang dilempar ketika perbahasan di Dewan Rakyat kemudiannya dipetik dan disebarkan kepada umum.
Sebelum itu, di persidangan pada Julai 2024, seorang Ahli Parlimen membaca surat layang dalam Parlimen tanpa bukti rasmi. Banyak lagi contoh fitnah yang ditabur oleh para pemimpin di Parlimen yang mencetuskan perbalahan dan pertikaian dalam kalangan rakyat.
Sedangkan segala keistimewaan yang diberikan kepada Ahli Parlimen termasuk imuniti bagi memastikan wakil rakyat berbahas secara bebas dan terbuka. Bagi membolehkan isu nasional dibincangkan tanpa ketakutan tindakan undang-undang dan melindungi proses demokrasi. Namun, ia datang dengan tanggungjawab dan tertakluk kepada kawal selia Speaker dan Dewan.
Mereka tidak sepatutnya menggunakan imuniti hingga menjadikan Parlimen sebagai lubuk menyebar fitnah. Sebagai pemimpin yang bijak dan berpendidikan dan ada pula yang memiliki ilmu agama yang tinggi, kebebasan berbahas di Parlimen sepatutnya hadir bersama tanggungjawab berucap yang tinggi.
Mereka dipilih melalui sistem demokrasi. Sepatutnya mereka jugalah yang perlu menjunjung kemurniaan sistem itu. Bukannya mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan kelompok mereka sampai menabur fitnah.
Sebab itu, bagi rakyat biasa yang tidak condong kepada mana-mana ideologi politik menyifatkan Parlimen itu seperti sarkas. Tempat di mana segala hal yang pelik-pelik berlaku dan kadang-kadang bahasa yang kita tidak pernah dengar atau tidak sanggup didengar.
Ketepikan dosa dan pahala, disebabkan imuniti, tidak ada apa tindakan boleh diambil ke atas para pemfitnah di Dewan Rakyat ini. Cuma setiap keceluparan mereka itu direkodkan dan boleh dijadikan rujukan sampai bila-bila. Sama seperti fitnah yang mereka tabur. Sebahagiannya akan kekal dalam minda penyokong mereka sampai bila-bila.
Aznan Bakar adalah Pengarang Nexbyte dan Mingguan Malaysia






