ROMBAKAN Kabinet sentiasa menjadi episod politik yang diperhatikan dengan teliti oleh rakyat. Setiap tanda, kenyataan atau pergerakan kecil segera ditafsirkan sebagai cerminan dinamika kuasa dalam kerajaan.
Maka apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan rombakan Kabinet hanya bertujuan mengisi kekosongan jawatan, maka ramai menyambutnya sebagai penjelasan ringkas dan tuntas.
Namun, polemik kembali tercetus apabila perbincangan mengenai rombakan turut melibatkan ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan yang sekali gus menimbulkan persoalan baharu. Umum mengetahui tiga daripada kementerian yang ditinggalkan ‘kosong’ melibatkan portfolio PKR, jadi, mengapa perlu rundingan politik merentas parti?
Persoalan membuka ruang kepada beberapa tafsiran lebih besar tentang keadaan politik. Dalam konteks kerajaan campuran yang dipacu oleh kestabilan menyebabkan segala keputusan pentadbiran jarang terpisah daripada pertimbangan politik. Justeru, kenyataan Perdana Menteri dan situasi semasa wajar diperhalusi dengan kritikal.
Jawatan yang perlu diisi ialah Menteri Ekonomi; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sememangnya berada dalam kuota PKR, kecuali Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dipimpin Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick yang mengumumkan parti itu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, baru-baru ini.
Jika benar objektifnya hanya mengisi kekosongan, logiknya penyelesaian itu boleh dilakukan secara dalaman, melalui perbincangan antara Perdana Menteri bersama pimpinan PKR sahaja.
Namun, apabila perundingan turut melibatkan ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan, ia memberi gambaran proses ini lebih besar daripada sekadar mengisi ruang kosong. Ia membawa mesej keseimbangan kuasa antara parti komponen mungkin kembali disemak atau sekurang-kurangnya dipertimbangkan.
“Saya sedang memikirkannya. Saya tidak terburu-buru dan saya perlu berfikir selepas mendengar (nasihat daripada pemimpin parti).
“Saya belum lagi membincangkan perkara ini dengan semua pemimpin parti. Sudah tentu keputusan muktamad ialah prerogatif saya,” kata Anwar.
Dalam politik kerajaan campuran, setiap kerusi menteri bukan sekadar jawatan pentadbiran sebaliknya menjadi sumber pengaruh, kedudukan dan simbol representasi parti dalam kerajaan.
Apabila satu portfolio dikosongkan, walaupun ia milik parti tertentu, tetap membolehkan parti lain melihat ruang untuk mengemukakan cadangan atau cita-cita baharu. Maka, campur tangan atau rundingan banyak parti bukanlah sesuatu yang mengejutkan sebaliknya mencerminkan realiti kuasa yang sedang dinegosiasikan.
BUKAN KOSMETIK
Perbincangan dengan ketua-ketua parti menguatkan spekulasi kerajaan mungkin mempertimbangkan rombakan yang lebih menyeluruh. Dalam tempoh dua tahun pentadbiran, beberapa isu pengurusan, dasar yang perlahan, kelemahan komunikasi kementerian serta tekanan ekonomi menjadi kritikan umum. Maka, rombakan besar bukan sahaja logik tetapi juga diperlukan untuk menyegarkan prestasi kerajaan.
Tambahan pula, Perdana Menteri sebelum ini kerap menekankan aspek akauntabiliti dan keberkesanan menteri. Dalam keadaan tekanan politik semakin meningkat, khususnya menjelang pilihan raya dalam tempoh dua tahun lagi, maka tindakan menyusun semula barisan Kabinet akan memberi mesej yang kerajaan tidak berkompromi terhadap prestasi pentadbiran.
Dengan mengambil kira konteks ini, rombakan berskala besar lebih munasabah berbanding sekadar mengganti dua kekosongan.
Faktor lain yang tidak boleh diketepikan ialah masa. Ini kerana pilihan raya umum (PRU) akan datang semakin hampir dan dalam tradisi politik Malaysia, rombakan Kabinet menjelang pilihan raya lazimnya mempunyai dua motif utama:
- Memperkukuh persepsi kerajaan
Barisan menteri yang lebih cekap, aktif dan komunikatif mampu membantu kerajaan memperbaiki keyakinan rakyat terutama dalam bidang kritikal seperti kos sara hidup, keselamatan makanan, pendidikan atau ekonomi digital. - Mengurus keseimbangan politik dalaman
Dalam kerajaan gabungan yang terdiri daripada pelbagai parti dengan kekuatan berbeza di kawasan tertentu, rombakan membolehkan penyesuaian kuota yang boleh mendekati objektif PRU iaitu kemenangan gabungan secara keseluruhan.
Parti yang mempunyai kelebihan pengaruh di negeri atau kawasan sasaran mungkin memohon penambahan representasi Kabinet, sebagai pelaburan politik menjelang pilihan raya.
Dalam konteks ini, rombakan kali ini berkemungkinan besar menjadi rombakan terakhir sebelum PRU, sekali gus paling penting. Ia akan menentukan imej kerajaan, meredakan ketegangan dalaman dan mungkin menjadi kayu ukur prestasi yang akan dibawa ke medan kempen.
SUARA RAKYAT
Tekanan rakyat juga tidak boleh diabaikan. Pelbagai suara dalam ruang awam mengkritik beberapa portfolio yang dianggap gagal berfungsi secara efektif sama ada dari sudut komunikasi dasar atau pelaksanaan program. Rakyat menuntut pemimpin yang kompeten, responsif dan berani membuat keputusan. Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan perlu menampilkan menteri-menteri yang bukan sahaja mampu tetapi mempunyai kredibiliti untuk memulihkan keyakinan.
Rombakan berupaya menghantar mesej jelas yang keupayaan mengatasi kepentingan politik peribadi. Sekiranya Perdana Menteri memilih untuk mengekalkan struktur lama, risiko yang dihadapi ialah persepsi kerajaan enggan berubah walaupun terdapat kelemahan ketara.
Perlu diakui, Kerajaan Perpaduan adalah sebuah struktur yang rapuh secara semula jadi. Ia memerlukan seni pengimbang kuasa yang baik dan sentiasa dinamik. Rundingan merentas parti dalam isu rombakan Kabinet mungkin bertujuan memastikan tiada parti merasa terpinggir atau kurang diwakili. Dalam konteks kestabilan politik, langkah ini perlu, walaupun pada asasnya kekosongan hanya melibatkan satu parti.
Namun, hakikat ini juga menggambarkan rombakan kali ini bukanlah proses rutin sebaliknya keputusan strategik yang memerlukan persetujuan kolektif seluruh gabungan. Ini satu lagi petunjuk kerajaan sedang mempertimbangkan perubahan lebih besar daripada apa yang diumumkan secara rasmi.
Walaupun Perdana Menteri menegaskan rombakan hanyalah untuk mengisi kekosongan jawatan, indikasi politik menunjukkan sebaliknya. Rundingan dengan ketua-ketua parti serta momentum politik semasa memberi tanda kerajaan mungkin mempertimbang rombakan besar, satu penyusunan semula yang akan menentukan wajah kerajaan menjelang PRU.
Jika benar rombakan ini merupakan yang terakhir sebelum pilihan raya, maka ia bukan sekadar pertukaran menteri tetapi penetapan semula arah politik, pentadbiran dan keyakinan rakyat. Apa pun bentuk akhirnya, rombakan Kabinet kali ini akan menjadi ujian penting kepimpinan Perdana Menteri dalam mengurus politik, prestasi dan harapan rakyat. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Nexbyte.






