MUKADIMAH
Rakyat Gaza terus hidup dalam derita kepungan yang meragut nyawa dan harapan, sementara dunia menyaksikan tragedi kemanusiaan ini berulang tanpa penyelesaian tuntas. Di sebalik runtuhan dan sekatan, penderitaan rakyat Palestin kekal menjadi luka terbuka bagi nurani manusia yang masih peduli.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, MUHAMMAD NADIR AL-NURI KAMARUZAMAN menegaskan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 kembali dengan misi lebih berani, membawa tekad untuk memecahkan kepungan dan membuka laluan bantuan melalui jalan laut. Berbeza daripada cubaan sebelum ini, misi kali ini menyasarkan menjejak kaki ke bumi Gaza, membawa bukan sekadar bekalan, tetapi tenaga manusia untuk membina semula kehidupan.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, FITRI NIZAM dan IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dibantu jurufoto FAUZI BAHARUDIN dan juruvideo ZUID SAMSON, pengasas Sumud Nusantara itu menegaskan, GSF 2.0 adalah pertaruhan besar demi kemanusiaan dan harapan agar Gaza tidak lagi dibiarkan berjuang sendirian.
LEBIH 100 KAPAL, 3,000 PESERTA
MINGGUAN MALAYSIA: Boleh kongsi objektif misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, perbezaan dengan GSF 1.0?
GSF yang pertama kita laksanakan pada 31 Ogos 2025 dan ketika itu ada satu tujuan sahaja iaitu untuk memecahkan kepungan. Bila kita sebut pecahkan kepungan melalui jalan laut ini maksudnya kita juga mahu membuka koridor kemanusiaan untuk membolehkan bantuan masuk melalui jalan laut sebagai alternatif kepada jalan darat yang sudah terlalu lama ditutup dan bantuan yang banyak terkandas di sempadan yang tidak membolehkan ia sampai kepada penduduk.
Ketika itu kita buat cubaan yang pertama. Kita hantar 45 kapal. Tiga daripadanya pemerhati, 44 negara, 440 peserta dan ketika itu kita tidak berjaya pecahkan kepungan tetapi sebenarnya kita berjaya melonggarkan sedikit sempadan dan membolehkan bantuan masuk.
Jadi, GSF 2.0 lebih besar dan kita menyasarkan lebih daripada 100 kapal, penglibatan dari seluruh dunia dengan 210 negara. Kita menyasarkan 3,000 peserta terlibat dan kali ini memang kita meletakkan tekad untuk memecahkan kepungan kerana muatan kapal kita majoritinya selain daripada aktivis adalah para doktor.
Begitu juga apa yang kita sebut sebagai pembangunan mapan dan lestari di dalam Gaza termasuklah perancangan-perancangan bandar dan kita akan bawa masuk guru dan pensyarah untuk membangunkan sektor infrastruktur kesihatan dan pendidikan di dalam bumi Gaza.
Bahasa mudahnya kita akan membantu proses pembangunan Gaza semula selepas berlakunya fasa kedua dan seterusnya daripada pelan keamanan yang digariskan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Dengan pembabitan lebih ramai peserta dalam GSF 2.0, bagaimana risiko keselamatan bagi misi kali ini?
Untuk melaksanakan perancangan perjalanan flotilla walaupun dengan satu kapal sebenarnya memerlukan masa enam bulan hingga setahun. Tapi kita agak terkejut bila mana kita melaksanakan GSF yang pertama dengan kehadiran 450 hingga 460 orang itu tidak ada satu pun insiden kematian ataupun tiada kekerasan yang menyebabkan patah riuk tidak boleh berjalan dan sebagainya.
Dan itu berbalik kepada apa yang kita sentiasa sebut di dalam misi iaitu gerakan kita adalah non-violent movement yang tidak menggunakan kekerasan, tidak mencabar tentera Zionis Israel dan tidak membuat apa-apa tindakan yang menyebabkan mereka menggunakan kekerasan terhadap kita kerana mengambil iktibar daripada flotilla sebelum ini.
Usaha kita adalah melalui tekanan media dan juga kita kata memecahkan kepungan dengan mengikuti undang-undang antarabangsa yang dibenarkan. Jadi, untuk GSF 2.0 kita mempunyai masa lebih panjang untuk kita mengatur perjalanan itu dan memang sepatutnya kerana jumlah peserta pun akan semakin ramai.
Tetapi mungkin di sebalik tabir perjalanan yang orang jarang nampak kenapa mereka perlu hadir contohnya tiga hari sebelum berlepas dari pelabuhan tertentu, sebabnya mereka kena melalui latihan bagaimana berdepan dengan Zionis Israel jika berlaku serangan ke atas bot. Jangan melakukan apa-apa tindakan mengejut hatta jangan menjawab dengan keadaan tidak perlu kepada
Zionis Israel. Maka berdiam diri lebih baik bagaimana kita bertindak dan menjawab ketika sesi soal siasat di dalam penjara.
Strategi lain yang kita gunakan contohnya setiap bot yang kita aturkan, ia tidak boleh ada peserta contohnya orang Malaysia. Tidak boleh satu bot itu semua orang Malaysia atau satu bot semua orang Tunisia mahu pun Iran. Kena bercampur. Sekurang-kurangnya dua ataupun tiga yang datang dari negara yang political costnya tinggi.
Kalau diganggu oleh Zionis Israel jadi kita campurlah peserta contoh dari Sepanyol, dari Amerika Syarikat diletakkan dalam satu bot, risiko untuk mereka mengebom bot itu secara terus mungkin akan kurang.
Jadi, strategi-strategi itu yang digunakan dan dibincangkan dengan sangat mendalam oleh pihak GSF selain daripada prosedur dan protokol yang kita ikuti sekiranya terjadi kecemasan.
GSF 2.0 GERAK SELEPAS AIDILFITRI
Bila jangkaan GSF 2.0 ini akan mula digerakkan?
Kalau ikutkan GSF sendiri kita sebenarnya hendak bergerak setiap bulan sebolehnya. Setiap bulan kita mahu ada hantar terus dan terus, supaya rejim Israel sentiasa tertekan.
Sebab bila kita hantar sebenarnya mereka macam kita sebut yang sebelum inilah GSF baru kita hantar 43 kapal yang lepas itu masuk ke red zone itu pun orang Gaza dah boleh keluar menangkap ikan contohnya kerana tentera Israel terlalu sibuk dengan usaha untuk menghentikan kita.
Pada masa sama mereka mengambil masa 12 jam untuk menghentikan 42 kapal dan kapal terakhir yang berjalan ketika itu yang diberi pilihan. Tertinggal di belakang sebenarnya, diberi pilihan untuk teruskan perjalanan atau berhenti dan tidak akan diganggu ataupun kalau teruskan akan ditangkap sama macam lain.
Dan mereka memilih untuk meneruskan perjalanan dan ditangkap sama macam yang lain dan menyebabkan mereka kena berusaha lagi 7 jam, 8 jam tambahan untuk memantau pula bot yang terakhir itu. Dengan kekalutan itu, mereka tidak sempat hendak buat kerja-kerja lain yang sepatutnya mereka lakukan sebagai tentera IDF.
Gangguan berterusan itu bagus. Cumanya kita berdepan beberapa isu antaranya kos tinggi bila kita hendak buat flotilla selain musim pelayaran yang tidak membolehkan kita berlayar contohnya pada hujung tahun untuk melepasi lautan Mediterranean. Untuk GSF yang akan datang insya-Allah kita akan melaksanakannya selepas raya Aidilfitri.
Setakat ini berapa ramai yang sudah menyatakan komitmen untuk sertai misi GSF 2.0?
Kita pernah sebutkan sebelum ini, di Malaysia sahaja kita tanpa membuka apa-apa penyertaan, hasil perkongsian link-link (pautan) lama yang tidak ditutup, 20,000 orang mendaftar untuk sertai.
Di peringkat antarabangsa pula, yang mendaftar 160,000 orang. Ini tanpa kita buka apa-apa pautan lagi.
Sekarang ini kita baru sahaja buka link dalam masa beberapa hari ini untuk kru, kapten dan juga pegawai teknikal yang boleh dan bertanggungjawab untuk menguruskan bot tu sendiri.
Biasanya setiap bot ini ada seorang kapten, ada sekurang-kurangnya dua kru yang akan membantu dan seorang juruelektrik ataupun juru enjin yang boleh membantu dia selain akan ada jurnalis, medik, global VIP seperti ahli politik dan sebagainya, yang selebih itu barulah orang awam daripada NGO ataupun pempengaruh.
GRETA, ANGELINA JOLIE DALAM MISI SUMUD
Mungkin ada yang nama-nama dikenali atau selebriti global termasuk Greta Thunberg akan turut serta dalam GSF 2.0?
Greta memang tidak jemput pun dia akan naik bot sendirilah. Cumanya mungkin saya boleh kongsikan yang sedang kita tarik untuk terlibat dengan kita antaranya pelakon,Liam Cunningham. Kita tengah berbincang dengan Angelina Jolie dan kita ada juga beberapa nama lain yang masih dalam perbincangan untuk kita bawa menjadi duta di dalam GSF dan bersuara ataupun turut menaiki bot.
TEKAN HINGGA BOLEH MASUK GAZA
Ada jangkaan untuk impak lebih besar dalam misi GSF 2.0 ini?
Sebenarnya yang akan sertai GSF 2.0 ini risiko untuk mereka lebih besar sebab kita sebut tadi kita akan usaha dan beri tekanan hingga boleh masuk ke dalam Gaza dan mereka ini akan kekal untuk satu tempoh masa di dalam Gaza untuk membantu membangunkan semula Gaza
Komitmennya akan lebih besar kepada mereka yang hendak ikut. Risikonya lebih besar kerana sebaik sampai di Gaza, kita sudah masuk dalam kawasan zon perang. Risiko boleh terbunuh dan sebagainya.
Adakah peratusan untuk peserta dapat memijak kaki ke tanah Gaza tu lebih tinggi berbanding GSF 1.0?
Ada harapan untuk sampai ke Gaza bila mana Gaza berada dalam keadaan gencatan senjata tetapi pada masa sama ia akan lebih menekan Amerika dan kawan-kawan sekitarnya untuk melakukan tindakan yang betul bila kita buat GSF 2.0.
Kita buat GSF ini sekitar fasa kedua ini hendak dilaksanakan. Kita jangkakan kalau pun tidak dapat masuk Gaza tapi sekurang-kurangnya kita akan memaksa Trump dan juga Benjamin Netanyahu mengikuti syarat-syarat diletakkan oleh tuan tanah, yang diletakkan oleh orang yang telah dilantik sebagai perunding iaitu Hamas dan juga paksi Palestine sekurang-kurangnya terbentuk satu kerajaan untuk memerintah dalam kalangan orang Palestin.
Dalam perjumpaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, mungkin ada pesanan untuk kejayaan GSF 2.0?
Alhamdulillah beliau sekali lagi menyatakan persetujuan untuk berada bersama di dalam GSF dan sebenarnya kita melihat untuk membawa imej dan nama Anwar dan Malaysia secara amnya untuk menjadi pemain yang lebih kuat di pentas antarabangsa.
Kita harapkan pada kali ini beliau dengan hubungan yang ada bersama-sama dengan kerajaan luar akan berjaya memikat wakil-wakil ataupun pimpinan-pimpinan dari negara-negara yang dekat dengan kita.
Sumud Nusantara ini sebenarnya kalau kita tengok majoriti penduduk dunia berada dalam kawasan kita. Ia meliputi India, Pakistan dan Bangladesh. China pun sedang kita tarik untuk bersama-sama dengan kita.
Jadi, majoriti penduduk dunia ada dengan kita dan majoriti orang Islam juga berada dengan kita. Indonesia, Pakistan, Bangladesh cukup tiga negara itu lebih daripada separuh umat Islam di seluruh dunia ada di kawasan nusantara. Maka nusantara ini memainkan peranan sangat penting dan perlu diperkasakan.
Rakyat pelbagai agama di luar negara terutama Eropah bangkit berdemonstrasi untuk Gaza dan Palestin, namun dalam negara sendiri bagaimana Tuan lihat sokongan itu?
Bila sahabat-sahabat dari GSF, jawatankuasa kerja kita buat sesi khas untuk perjumpaan bersama dengan Interfaith Religious Leaders ada wakil dari Hindu, wakil daripada penganut Buddha, wakil Kristian, wakil Atheist dan kita melakukan perbincangan bersama dengan mereka, secara amnya mereka mempunyai pandangan sama terhadap isu Palestin macam orang Islam.
Tetapi kita berdepan dengan masalah apa? Masalahnya orang Islam sendiri tidak meluaskan sebaran dan informasi berkenaan dengan Palestin itu kepada rakyat bukan Islam.
Yang kedua, mungkin mereka mempunyai persepsi bila mana mereka bergantung kepada media dari Barat yang rupanya pro kepada mereka dan yang ketiga mungkin sebahagian daripada ajaran agama mereka sendiri yang dekat kepada Kristian Zionis seperti orang Kristian Evangelical.
Peranan kita perlu dimainkan dengan lebih besar. Kita perlu memberikan golongan bukan Islam kefahaman bahawa apa yang berlaku di Gaza tidak hanya melibatkan orang Gaza, malah di Gaza itu sendiri ada sekitar 5,000 orang Kristian.
Kita tengok dengan sokongan dari Barat, sokongan daripada mereka yang bukan beragama Islam yang sangat kuat dari negara-negara lain. Mereka menyokong isu ini atas dasar kemanusiaan, mereka menyokongnya atas dasar menolak penjajahan dan negara-negara yang melanggar undang-undang antarabangsa
Selagi mana negara kita dan seluruh dunia tidak ada undang-undang yang mampu memastikan semua orang mengikutinya maka kita juga terdedah kepada bahaya yang sama.
Nampak macam jauh tetapi sebenarnya sangat dekat risiko itu kepada kita maka kita sebagai satu bangsa dan negara berdaulat yang mempunyai kuasa politik, tanggungjawab kita sangat besar untuk memastikan kezaliman dan penjajahan dapat ditolak tanpa mengira bangsa dan agama.
NGO SELEWENG DANA PALESTIN
Ada NGO tertentu mengambil kesempatan atas isu Palestin untuk memungut dana awam, namun sumbangan tidak pernah sampai malah ada yang didakwa menyeleweng dana, apa komen tuan?
Isu Palestin ni adalah isu yang paling senang ditunggang. Letak sahaja corak keffiyeh di situ, bendera warna Palestin, maka semua orang boleh menungganginya. Isu paling utama di Malaysia ini adalah penguatkuasaan.
Kita berdepan dengan isu bagaimana hendak memastikan NGO menyampaikan bantuan tersebut, menyediakan semua dokumentasi yang diperlukan untuk memastikan tidak ada penipuan berlaku.
Kita mahu pastikan bagaimana audit yang tersusun boleh diadakan untuk memastikan supaya ada pihak yang berautoriti, memastikan dana itu disalurkan dengan betul. Itu semua tidak ada dalam dunia NGO hari ini dan ini sangat mengecewakan sebab ia menjadikan dunia NGO di Malaysia ini berada pada tahap sangat rendah berbanding negara lain. United Kingdom, ataupun Turkiye mahupun negara yang dekat dengan kita seperti Singapura, mereka mempunyai garis panduan lebih ketat untuk mengutip sumbangan dan sebagainya.
Kita bukan berdepan isu atau hendak timbulkan isu orang nak buat baik, kita nak pastikan sumbangan itu sampai kepada mereka yang berhak melalui cara yang betul.
Saya nasihatkan kepada mereka yang mahu menyumbang boleh sumbang melalui NGO yang kalian kenali. Orang Malaysia ini kadang-kadang ada rasa sudah bosan sumbang dekat NGO ini, cuba NGO lain pula. Hendak cuba NGO lain satu hal, satu trend lagi yang suka beri terus kepada orang di Palestin, contohnya.
Dalam waktu perang kami selalu sebut tidak ada masalah. Sebab, semua orang memerlukan sumbangan dan kita susah hendak sahkan maklumat, tapi sebelum daripada perang, kita selalu sebutkan, kalau mahu bantu orang di Gaza secara adil dan kita tidak tahu pun dia itu siapa, melainkan kita tengok videonya di TikTok.
Kadang-kadang kita banyak berdepan persoalan dari Kementerian Dalam Negeri, contohnya di Gaza, kenapa orang Malaysia membantu orang ini, atau orang itu? Yang rupanya adalah penagih dadah atau kerjanya mengutip sumbangan hingga mampu beli tanah dan rumah di bumi Gaza,
Bagilah melalui NGO yang berdaftar bawah kerajaan Gaza atau Palestin di Ramallah ke, sebab mereka pun kena buat audit juga di sana. Ada undang-undang yang kita kena ikut. Kita hendak bagi kepada siapa kena melalui kementerian pembangunan sosial mereka, tapi kita suka bagi secara terus, kadang-kadang bagi kepada orang yang tidak sepatutnya.
Di sana kena ikut undang-undang, di sini pun kena ikut undang-undang. Beri bukti dokumentasi dan bergambar atau video serta dapat pengiktirafan dengan kerajaan tempatan di sana. Mereka pun ada sistem agihan supaya sumbangan diberi kepada yang layak.
AUDIT NGO
Adakah pihak berkuasa terutama RoS perlu menetapkan setiap NGO diaudit?
Beza audit luar dan audit dalam. Saya rasa kebanyakan NGO yang mengumpul sumbangan yang banyak sedang mencuba melaksanakan audit luar, audit dalaman pun perlu dilakukan supaya tahapnya lebih kuat berbanding hanya kemukakan penyata kewangan.
Maknanya kena ada kaedah untuk meningkatkan kualiti pengurusan NGO ini walaupun secara berperingkat. Sepatutnya RoS perlu melaksanakan pendekatan lebih ketat. Sebabnya, duit sumbangan orang ramai itu perlu dijaga dan disalur kepada pihak yang benar-benar memerlukan manfaatnya. – MINGGUAN MALAYSIA






