KETEGANGAN dan perang berterusan di Asia Barat yang mencetuskan krisis tenaga global mendorong Malaysia memperkukuh penggunaan sumber tenaga tempatan menerusi peningkatan campuran biodiesel.
Pada April lalu, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15, bermula dengan B12, sebagai langkah mengekalkan bekalan diesel negara susulan krisis tenaga yang semakin memburuk.
Langkah itu bertujuan mengurangkan kebergantungan diesel petroleum import, mempelbagaikan sumber tenaga dan memperkukuh daya tahan negara berdepan kemungkinan gangguan rantaian bekalan global.
Secara mudah, B15 bermaksud bahan api diesel yang mengandungi 15 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit atau Palm Methyl Ester (PME) dan 85 peratus diesel petroleum.
Sebelum ini, Malaysia melaksanakan B10 yang mengandungi 10 peratus PME dan 90 peratus diesel petroleum. B20 pula, yang mengandungi 20 peratus PME dan 80 peratus diesel petroleum, dilaksanakan di beberapa kawasan terpilih termasuk Labuan, Langkawi dan sebahagian Sarawak.
Program Biodiesel Negara diperkenalkan pada 2011 menerusi B5 sebelum ditingkatkan kepada B7 pada 2014 dan seterusnya B10 serta B20 secara berperingkat.
Berdasarkan data industri, pengeluaran biodiesel negara kini mencecah kira-kira 1.5 bilion liter setahun, namun masih di bawah kapasiti maksimum sedia ada. Ini memberi ruang untuk meningkatkan kadar adunan tanpa menjejaskan bekalan domestik.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad memberi jaminan penggunaan biodiesel tidak menimbulkan masalah terhadap prestasi enjin dan pengguna boleh menggunakan bahan api berkenaan seperti biasa.
Dari sudut bekalan pula, kerajaan memberi jaminan peningkatan penggunaan biodiesel tidak akan menjejaskan eksport minyak sawit negara.
Malaysia menghasilkan kira-kira 20 juta tan metrik minyak sawit setahun, dengan sekitar 16 juta tan metrik dieksport dan empat juta tan metrik digunakan untuk pasaran domestik. Bagi pelaksanaan B15, kira-kira 0.8 juta tan metrik minyak sawit diperlukan.
Malah, pelaksanaan B15 dijangka meningkatkan penggunaan minyak sawit mentah (MSM) domestik sehingga 801,000 tan setahun.
Program ini turut disokong ekosistem industri yang luas merangkumi 452 kilang minyak sawit, 54 kilang penapisan, 19 loji biodiesel dan 34 depoh pengadunan sebelum bahan api diedarkan ke lebih 4,400 stesen minyak di seluruh negara.
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Dr. Mohamad Reeduan Mustapha berkata, walaupun peningkatan daripada B10 kepada B15 hanya lima mata peratusan, namun kesannya mempunyai nilai strategik apabila dilaksanakan pada skala nasional.
Menurutnya, sebahagian keperluan diesel petroleum dapat digantikan dengan biodiesel yang dihasilkan daripada sumber tempatan.
“Nilai utama peralihan kepada B15 bukanlah kerana dapat menjamin Malaysia bebas sepenuhnya daripada kesan krisis tenaga antarabangsa tetapi kerana langkah ini dapat membantu mengurangkan kebergantungan relatif negara terhadap diesel petroleum, mempelbagaikan sumber bekalan tenaga dan memperkukuh daya tahan tenaga nasional,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan secara berperingkat, bermula dengan B12, merupakan pendekatan pragmatik kerana membolehkan kerajaan menggunakan infrastruktur pengadunan sedia ada sambil memperkukuh sistem penyimpanan dan pengedaran.
Berdasarkan analisis kos-faedah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), peningkatan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B12 atau B15 di Semenanjung Malaysia dan Sabah dianggarkan dapat mengurangkan penggunaan diesel petroleum sebanyak 334,139 tan atau kira-kira 386.73 juta liter setahun.
Bagaimanapun, Mohamad Reeduan mengingatkan B15 tidak bermaksud harga diesel akan secara automatik menjadi lebih murah.
Harga biodiesel turut dipengaruhi harga minyak sawit, kos pemprosesan, pengangkutan, pengadunan serta faktor permintaan dan penawaran. Jika harga minyak sawit meningkat dengan ketara, maka kelebihan kos biodiesel juga boleh berkurangan.
Justeru, manfaat utama B15 pada peringkat awal ialah dari segi pengurusan risiko bekalan dan kepelbagaian sumber tenaga, bukannya semata-mata untuk menurunkan harga bahan api.
Penggunaan lebih banyak biodiesel tempatan bagaimanapun boleh mengurangkan pendedahan negara kepada kenaikan kos diesel petroleum import.
Kesan tidak langsungnya juga penting. Jika risiko gangguan bekalan dan lonjakan kos diesel dapat dikurangkan, ia berpotensi membantu sektor pengangkutan, logistik, pertanian serta pembuatan, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap kos barangan pengguna.

Dari sudut industri sawit, B15 mewujudkan permintaan domestik tambahan dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran eksport semata-mata. Ia turut berpotensi memberi kesan pengganda kepada pekebun kecil, kilang sawit, pengeluar biodiesel, sektor pengangkutan dan industri sokongan.
Namun, peningkatan permintaan minyak sawit untuk biodiesel perlu diurus secara seimbang bagi mengelakkan tekanan terhadap bekalan untuk industri makanan, sektor hiliran dan pasaran eksport.
Kerajaan perlu memantau pengeluaran, stok, harga minyak sawit serta permintaan domestik dan eksport supaya peningkatan penggunaan biodiesel tidak menjejaskan sektor lain.
Dalam jangka panjang, biodiesel juga tidak boleh menjadi satu-satunya penyelesaian kepada peralihan tenaga. Malaysia perlu memperluas pendekatan tenaga yang merangkumi solar dan sumber boleh baharu lain, elektrifikasi pengangkutan, kecekapan tenaga, teknologi penyimpanan serta teknologi hijau.
Krisis Asia Barat memberi satu pengajaran penting iaitu keselamatan tenaga adalah sebahagian daripada keselamatan ekonomi negara.
Malaysia mungkin tidak mampu mengawal harga minyak dunia, konflik geopolitik atau gangguan laluan perdaganganantarabangsa. Namun, negara boleh menentukan tahap kesediaannya menghadapi kejutan tersebut.
Dalam konteks itu, B15 bukan sekadar perubahan campuran biodiesel daripada 10 kepada 15 peratus, sebaliknya sebahagian daripada strategi memperkukuh daya tahan tenaga negara melalui penggunaan sumber tempatan dan kepelbagaian bekalan. –UTUSAN
PENULIS ialah Pemangku Pengarang Berita Nexbyte.






