PERKAUMAN kini hadir dalam dua wajah, satu melaungkannya secara terbuka, satu lagi menyamar sebagai penentangnya.
Berita sebenar dari Negeri Sembilan bukan sekadar tentang siapa yang menang tetapi bagaimana wajah perkauman dalam politik berubah. Kini, sentimen tersebut tampil lebih kemas dan sopan, sekali gus semakin sukar dikesan.
Setiap kali keputusan pilihan raya tidak memihak, pihak yang tewas lazimnya mengulang alasan mereka berkempen berdasarkan prestasi dan khidmat, sedangkan lawan memainkan sentimen perkauman.
Hujah itu kedengaran baik, malah ada benarnya. Namun, persoalan siapa sebenarnya yang memainkan isu perkauman semakin membosankan kerana jawapannya hampir selalu dituding kepada pihak lawan.
Lebih baik kita mengemukakan tiga persoalan yang lebih jujur.
Pertama, politik tidak dapat dipisahkan daripada identiti. Setiap komuniti berhak mempertahankan bahasa, agama dan maruah masing-masing. Memperkukuhkan identiti Melayu bukan satu kesalahan, sebaliknya sebahagian daripada hak yang turut dimiliki komuniti lain.
Ibn Khaldun menyebut asabiyyah sebagai tenaga yang membina sesebuah tamadun. Yang menjadi masalah bukan usaha memperkukuh identiti tetapi asas pembinaannya apabila berlandaskan ketakutan terhadap pihak lain atau mengambil tempat tadbir urus. Identiti mencari maruah adalah sah, manakala yang mencari musuh membawa kerosakan.
Kedua, terdapat dua wajah perkauman, namun kita lazimnya hanya mengenali satu daripadanya.
Wajah pertama ialah perkauman terbuka yang muncul dengan laungan bangsa dan agama sedang terancam. Ia mengangkat identiti sendiri secara terang-terangan, lalu mudah dikenal pasti.
Wajah kedua pula hadir secara bertopeng. Ia tidak melaungkan kaum sendiri, sebaliknya menuding kepada kelompok lawan dengan seruan bahawa kita mesti bersatu menentang mereka yang kononnya memecahbelahkan masyarakat. Ia tidak meninggikan kelompok sendiri tetapi merendahkan pihak lain. Bahasanya kelihatan seperti penolakan terhadap perkauman, sedangkan kesannya tetap serupa.
Kedua-duanya akhirnya membawa masyarakat ke arah yang sama, iaitu menggerakkan satu kelompok melalui ketakutan terhadap kelompok lain.
Perkauman terbuka mungkin pahit, justeru mudah ditolak. Perkauman bertopeng pula disalut bahasa kesatuan dan kesederhanaan. Ia lebih mudah diterima tanpa curiga. Namun, racun yang disalut gula tetap racun. Justeru, sifatnya yang manis menjadikannya lebih bahaya kerana mampu melepasi ukuran yang selama ini digunakan untuk mengenal pasti perkauman.
Apabila ada pihak berkata mereka hanya berkempen berdasarkan prestasi, kenyataan itu mungkin benar. Namun, apabila pada masa sama mereka berbangga dengan kemampuan mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu, maka bahasa tersebut tidak lagi semata-mata berkisar tentang prestasi tetapi juga mengandungi unsur identiti.
Maka, perbezaan sebenar bukan antara pihak yang memainkan isu kaum dengan mereka yang kononnya hanya menawarkan prestasi. Kedua-duanya boleh terjerumus ke dalam politik identiti. Bezanya, satu mengakuinya secara terbuka, manakala satu lagi menyembunyikannya di sebalik bahasa yang berbeza.
PENGUKUHAN IDENTITI BUKAN MASALAH
Jangan salah faham kemenangan ini. Politik identiti bukan barah asing dalam sejarah politik negara.
Formula 1957 dibina atas asas perwakilan kaum, kemudian dipertemukan melalui permuafakatan di peringkat kepimpinan. Identiti dan akomodasi berjalan serentak.
Yang merosakkan bukan kewujudan identiti tetapi cara diurus apabila berubah daripada asas perwakilan kepada alat untuk menimbulkan ketakutan.
Justeru, kemenangan ini tidak semestinya bermakna negara kembali ke lubang lama. Sebaliknya, kita sedang berada di persimpangan yang menuntut kebijaksanaan dalam mengurus perbezaan.
MENOLAK LABEL POLITIK KEBENCIAN
Di sini kita perlu berlaku adil kepada pihak yang menang.
Sudah menjadi kebiasaan pihak yang kalah melabel kemenangan lawan sebagai hasil ‘politik kebencian’. Label tersebut boleh menjadi satu bentuk perkauman bertopeng apabila digunakan untuk menolak kesahihan pilihan majoriti dengan menganggap sokongan mereka sebagai berasaskan kebencian.
Pengundi yang memilih pemenang bukan pembenci. Mereka membuat pilihan berdasarkan sesuatu yang sah, termasuk keinginan mendapatkan perwakilan yang mendengar suara mereka, kebimbangan terhadap kedudukan yang dirasakan terpinggir serta harapan terhadap kepimpinan yang memahami aspirasi mereka.
Itu bukan kebencian. Itu keinginan kepada maruah.
Melabel pilihan tersebut sebagai kebencian bukan sahaja tidak adil kepada rakyat, malah boleh memecahbelahkan masyarakat dengan membahagikan mereka kepada kelompok yang dianggap baik dan jahat hanya berdasarkan pilihan politik.
Yang menang bukan kebencian tetapi keinginan sebuah komuniti mendapatkan maruah dan perwakilan. Keinginan itu sah dan wajar dihormati.

MUAFAKAT PERLU NAMA, STRUKTUR
Satu realiti yang perlu diakui ialah kemenangan dibina bukan melalui manifesto bersama tetapi menerusi persefahaman senyap antara dua bekas seteru. Muafakat tanpa nama itu ternyata berfungsi.
Namun, persefahaman yang mampu memenangi pilihan raya belum tentu cukup untuk mengurus sebuah negeri. Yang pertama mungkin hanya memerlukan musuh bersama, sedangkan yang kedua menuntut agenda bersama.
Kemenangan boleh dicapai melalui sentimen tetapi pemerintahan menuntut keupayaan yang lebih besar.
Justeru, persefahaman tersebut perlu diberi nama dan struktur. Sesuatu yang tidak bertulis mudah dinafikan, manakala kerjasama tanpa rangka yang jelas mudah dilanggar.
Tanpanya, dua godaan menanti pemenang. Pertama, kembali kepada perseteruan lama selepas musuh bersama tidak lagi wujud. Kedua, bermain di dua gelanggang dengan melaungkan persefahaman pada satu pentas tetapi membisikkan perkara berbeza di tempat lain.
Jika gagal diterjemahkan kepada dasar dan pentadbiran, pengundi yang digerakkan oleh sentimen akan menuntut sentimen itu terus dilayan. Akhirnya, kerajaan boleh menjadi tawanan kepada bahan bakar yang pernah mengangkatnya.
Itu bukan sekadar kelemahan. Ia boleh berubah menjadi ketagihan politik. Jadi, bagaimana keadaan ini harus ditangani?
Bukan dengan mengharamkan sentimen. Undang-undang yang terlalu menyekat percakapan hanya berisiko menolaknya ke ruang yang lebih tersembunyi.
Yang perlu diubah bukan semata-mata perkara boleh dikatakan tetapi perkara yang mendapat ganjaran politik apabila dikatakan.
Selagi perkauman mampu menghasilkan undi, ia akan terus dijual. Ia hanya akan berhenti apabila pengundi tidak lagi membelinya.
Pada masa sama, kos moral perlu dikembalikan kepada pemimpin. Mereka perlu berani menegur perkauman dalam barisan sendiri, bukan hanya lantang mengkritik pihak lawan.
Sentimen boleh membakar sebuah kempen tetapi hanya muafakat mampu menanggung sebuah kerajaan.
Mereka yang menang dengan sentimen kini perlu memerintah dengan sesuatu yang sentimen tidak pernah mampu berikan iaitu dasar, kestabilan dan keupayaan menyatukan masyarakat.
Kemenangan ini bukan penghujung perpaduan, kebangkitan semula perkauman atau kemenangan kebencian. Ia ialah ujian sama ada kita cukup matang mengurus identiti seperti generasi 1957, diwakili dan dimuafakatkan atau membiarkannya disalahurus sebagai alat untuk menakut-nakutkan.
Pilihan berada di tangan. Sejarah menunjukkan kita pernah membuat pilihan yang betul.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Pengerusi Teras Politik, Musyawarah Nasional.






