SAUDARA PENGARANG,
LEMBAGA Tabung Haji (TH) menyangkal dakwaan berkenaan perkongsian data peribadi para bakal Haji dengan TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS), syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan atau mana-mana pihak untuk sebarang tujuan tertentu.
TH mengambil perhatian serius aduan daripada pengadu berkenaan dan setelah semakan dilakukan, disahkan tiada data permohonan rayuan oleh pengadu.
Pihak THTS turut menyangkal bahawa pihaknya menghubungi pengadu atau bakal jemaah lain untuk menawarkan kelulusan rayuan haji seperti didakwa.
TH, THTS dan syarikat PJH yang dilesenkan TH menekankan keselamatan maklumat peribadi para pelanggan dan sebarang maklumat data peribadi pendeposit adalah dilindungi oleh Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
TH ingin menasihati kepada masyarakat yang mempunyai kemusykilan dan ingin menyemak kesahihan permohonan rayuan haji untuk merujuk kepada saluran-saluran yang tepat.
Untuk sebarang persoalan lanjut, boleh menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919. – UTUSAN
LEMBAGA TABUNG HAJI






