SAUDARA PENGARANG,
CABARAN terbesar dalam menunaikan ibadah terutama haji untuk memperoleh dan mengekalkan kemabruran selain kekal beristiqamah. Oleh yang demikian, inisiatif yang dilaksanakan Tabung Haji bagi menganjurkan Program Himpunan Persaudaraan Hujjaj (HISHAJ) dianggap amat bermakna.
Selain itu, ia bertujuan mengukuhkan persaudaraan Islam dan meningkatkan iltizam bagi mengekalkan kemabruran haji.
Jika dihayati, maqasid atau objektif terpenting ibadah haji disyariatkan antara lain untuk memupuk ketulusan hati dalam mengabdikan diri kepada Allah, mensyukuri nikmat kurniaan Allah, memupuk disiplin yang tinggi, memiliki kesabaran dan daya juang yang kuat dalam menempuh ujian di samping menekankan semangat persamaan serta kesatuan antara sesama umat Islam.
Selain menerapkan keikhlasan dalam jiwa, ibadah haji juga bertujuan memupuk disiplin yang tinggi dalam diri. Disiplin ini terhasil daripada latihan berterusan untuk menepati rukun dan wajib haji.
Perbezaan negara, bangsa, bahasa, budaya, resam dan kebiasaan pastinya menimbulkan cabaran yang bukan sedikit. Hal ini khususnya untuk saling memahami dan menghormati perbezaan antara satu sama lain. Komunikasi yang terbatas disebabkan halangan bahasa misalnya boleh sahaja menimbulkan salah faham dan perbalahan. Namun, sekiranya ia diurus secara bijaksana, hasilnya pasti amat memberansangkan.
Malcolm X yang menunaikan haji pada 1964 berkongsi pengalaman positif berinteraksi dengan jemaah haji berkulit putih melalui surat kepada pengikutnya. Katanya, umat Islam di sini terdiri daripada pelbagai warna kulit dan datangnya dari seluruh pelosok dunia. Dia dapat melihat ke dalam mata biru mereka dan merasakan bahawa mereka menganggap diriku sebagai saudara seagama. Kepercayaan mereka kepada Tuhan yang Esa (Allah) sebenarnya melenyapkan (warna kulit) putih daripada fikiran.
Ternyata latihan yang terkandung dalam madrasah haji membekalkan segala nilai yang amat berguna untuk dimanfaatkan dalam kehidupan sesudah kembali ke tanah air. Nilai penting berkenaan yang berjaya diterjemahkan dalam kehidupan dapat membantu setiap individu menghadapi pelbagai bentuk cabaran dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Malah merupakan ramuan utama dalam mengisi dan mempertahankan kemerdekaan. Tiadalah yang dapat memastikan kemerdekaan kekal dalam genggaman melainkan keimanan yang kekal terpelihara dan nilai, akhlak serta budi pekerti luhur tidak tercemar, sebagaimana kata Buya Hamka, kemerdekaan suatu negara kalau tidak berpangkalan kepada kekuatan iman dan budi, nescaya akan runtuhlah kemerdekaan itu dari dalam. – UTUSAN
WAN ROSLILI ABD. MAJID
Felow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)






