MENJADI hasrat kerajaan untuk mengangkat satu gagasan membangun Malaysia Madani malah dapat dilihat perdana menteri tidak pernah lelah untuk memastikan hal ehwal seperti kebajikan dan kepentingan rakyat tetap menjadi keutamaan.
Namun, di sebalik usaha itu masih terdapat rancangan atau pakatan sulit untuk menjatuhkan kerajaan hari ini.
Pada hemat saya, perang politik iaitu dipanggil gencatan politik membabitkan penyertaan dan penglibatan parti-parti politik perlu berlapang dada dan akur dengan titah diraja demi ke arah membina negara semula yang lebih bermaruah.
Sepatutnya kita sebagai ahli Dewan Rakyat hendaklah menggunakan platform ini untuk membahaskan isu-isu penting ataupun menjadi semak dan imbang bukannya tempat menghamburkan sentimen kebencian secara berlebihan kerana perbuatan tersebut tidak menguntungkan mana-mana pihak sekalipun.
Sebaliknya, tindak tanduk ahli Parlimen dipandang negatif oleh rakyat.
Nur Aishah Zainol yang juga seorang aktivis masyarakat di Permatang Pauh ketika diminta merespon kenyataan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan menyatakan rasa kesal dan membidas sikap yang ditunjukkan Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Muhammad Fawwaz didakwa sengaja untuk merendah-rendahkan kedudukan dan kewibawaan kepimpinan Perdana Menteri malah kata-katanya tidak mencerminkan keperibadian sebenar selaku seorang yang digelarkan alim ulama atau seorang pendakwah.
Inilah akibatnya jika rakyat terutamanya pengundi di Permatang Pauh tersalah memilih individu yang tidak memiliki potensi kepemimpinan selaku seorang wakil rakyat.
Sebaliknya beliau dipercayai hanya berbekalkan modal politik air liur sahaja bagi tujuan menambat sokongan semasa pilihan raya umum (PRU) lalu. Tidak sewajarnya seorang yang berlatarkan pengajian Islam bersikap sebegitu kerana tidak menghormati institusi legislatif yang menjadi tonggak tertegaknya sistem amalan demokrasi berparlimen. – UTUSAN
PEMERHATI POLITIK BEBAS
Pulau Pinang






