ALUMNI Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (Alumni MPPK) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa sebarang keputusan berkaitan dasar pendidikan negara mestilah berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan serta Dasar Bahasa Kebangsaan.
Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan isu baharu. Ia telah dibincangkan sejak lebih lima dekad lalu melalui pelbagai wacana akademik, dasar dan perbahasan awam.
Namun, kedudukannya kekal jelas bahawa UEC tidak selari dengan kerangka perlembagaan dan sistem pendidikan kebangsaan Malaysia.
Dari sudut prinsip perundangan dan akademik, UEC bercanggah dengan:
- Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan teras sistem pendidikan negara
- Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967
- Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang memperuntukkan pelaksanaan kurikulum, peperiksaan dan latihan perguruan kebangsaan yang seragam dan dikawal selia negara
Fakta asas menunjukkan bahawa UEC:
- Tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama
- Tidak berasaskan Kurikulum Kebangsaan
- Bukan peperiksaan kebangsaan
- Berada di luar ekosistem latihan perguruan kebangsaan
Dalam kerangka teori dasar awam dan pendidikan perbandingan, pengiktirafan sesuatu kelayakan pendidikan lazimnya tertakluk kepada keselarasan bahasa pengantar, kurikulum nasional serta mekanisme kawal selia negara.
Kegagalan memenuhi prasyarat ini menjadikan pengiktirafan tersebut bercanggah dengan prinsip kedaulatan dasar pendidikan sesebuah negara.
Sehubungan itu, isu UEC tidak wajar diletakkan dalam kerangka rundingan politik, sebaliknya perlu difahami sebagai isu prinsip kenegaraan. Keluhuran Perlembagaan tidak boleh dikompromi atas tekanan politik atau sentimen semasa.
Pengalaman negara serantau turut membuktikan bahawa tiada negara jiran yang mengiktiraf UEC sebagai setara dengan sistem pendidikan kebangsaan mereka. Penerimaan pelajar UEC oleh universiti luar negara adalah bersifat kemasukan pelajar antarabangsa, bukan pengiktirafan kurikulum.
Alumni MPPK berpandangan bahawa pendirian tegas Perdana Menteri dalam mempertahankan asas perlembagaan dan dasar pendidikan negara adalah wajar, berprinsip serta selari dengan kepentingan jangka panjang pembinaan negara bangsa.
Malaysia memerlukan dasar pendidikan yang menyatukan rakyat, memperkukuh identiti kebangsaan dan menjunjung Keluhuran Perlembagaan sebagai asas pembinaan negara bangsa. – UTUSAN
MUHAMMAD AMIR ASYRAF MOHD SABRI
Presiden Alumni Majlis Perundingan Pelajar
Kebangsaan (Alumni MPPK)






