PENGUMUMAN penyertaan Kazakhstan ke dalam Perjanjian Abraham pada November 2025 menandakan kebangkitan semula inisiatif diplomatik Amerika Syarikat (AS), sekali gus menimbulkan persoalan tentang niat strategik negara tersebut.
Walaupun Kazakhstan mempromosikan tindakan ini sebagai kesinambungan dasar luar, realitinya lebih menyerupai strategi ‘realpolitik’ pragmatik yang didorong oleh keperluan geopolitik.
Apa yang digambarkan sebagai inisiatif perdamaian sebenarnya bertujuan memperoleh naungan keselamatan dan kelebihan ekonomi daripada Washington, menempatkan Kazakhstan sebagai pemain periferi dalam percaturan kuasa yang lebih luas.
Langkah ini menimbulkan persoalan moral serius. Sebagai negara Asia Tengah pertama yang menyertai perjanjian itu, Kazakhstan menyertai beberapa negara Islam lain seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan, menandakan kepentingan geopolitiknya mengatasi keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin.
Penyertaan itu berlaku ketika dunia menyaksikan kekejaman berterusan terhadap Gaza, memperlihatkan Perjanjian Abraham bukan perjanjian perdamaian tetapi platform geopolitik yang menjadikan normalisasi dengan Israel sebagai syarat untuk mendapatkan pengaruh dan sokongan AS.
Sejarah hubungan diplomatik Kazakhstan-Israel bermula sejak 1992, dan penyertaan ke dalam Perjanjian Abraham tidak membawa perubahan praktikal besar.
Namun, memiliki nilai simbolik yang tinggi, memberi sokongan politik kepada legasi pentadbiran Donald Trump dan menegaskan relevansi perjanjian tersebut di pentas antarabangsa.
Bagi Kazakhstan, keputusan ini adalah strategi teliti untuk menarik perhatian Washington dan memperkukuh keterlibatan AS di Asia Tengah, wilayah kaya dengan sumber strategik seperti unsur nadir bumi, emas, uranium dan gas asli yang kini menjadi rebutan kuasa besar.
Negara-negara C5 (Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan) berhadapan iklim geopolitik kompleks. Mereka berusaha mengurangkan kebergantungan kepada China dan menilai semula risiko keselamatan akibat sikap agresif Russia selepas perang Ukraine.
Dalam konteks ini, AS muncul sebagai rakan strategik penimbal, terbukti melalui beberapa perjanjian perdagangan bernilai berbilion dolar sepanjang enam bulan terakhir 2025.
Penyertaan Kazakhstan dalam perjanjian itu berfungsi sebagai isyarat politik untuk memastikan kesinambungan pelaburan, kepentingan ekonomi dan sokongan keselamatan.
Fenomena normalisasi juga mula mempengaruhi Asia Tenggara. Negara-negara kecil di rantau ini mencari payung keselamatan dan ekonomi, sementara Israel semakin aktif mendekati Indonesia secara diplomatik tidak rasmi.
Singapura pula menampilkan pendekatan pragmatik dengan mengekalkan hubungan baik bersama Washington.
Perjanjian Abraham berpotensi menjadi alat geopolitik global yang menghakis solidariti serantau terhadap isu Palestin, menjadikan Asia Tenggara ruang ujian baharu normalisasi Israel.
Penyertaan Kazakhstan dalam Perjanjian Abraham bukan didorong visi kedamaian tetapi strategi politik yang menggunakan penderitaan Palestin sebagai modal tawar-menawar untuk sokongan ekonomi dan keselamatan AS.
Tindakan ini menempatkan Kazakhstan dalam projek hegemoni Amerika-Israel yang menormalisasi penjajahan, mengorbankan kedudukan moral negara dalam dunia Islam.
Dalam jangka panjang, ia berpotensi menimbulkan ketidakstabilan geopolitik serantau dan melemahkan solidariti global terhadap perjuangan rakyat Palestin. – UTUSAN
DR. AINUL ASYRAF LOKMAN
Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah,
Tamadun dan Pendidikan Islam Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya






