PETALING JAYA: Dua pelajar perempuan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Alor Gajah yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu ditemukan polis di Central Market dekat sini malam tadi.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad ditemukan dalam keadaan selamat.
“Alhamdulillah, pihak Polis Bukit Aman berjaya menemui kedua-dua pelajar MRSM Alor Gajah, Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang dilaporkan hilang sejak Selasa di sekitar Central Market Kuala Lumpur pukul 10.31 malam tadi,” katanya menerusi Facebook, semalam.
Sementara itu, Pengetua MRSM Alor Gajah, Azaam Yacob berkata, anggota polis meneruskan rondaan di sekitar Central Market kira-kira pukul 10.15 malam selepas kawasan itu dikenal pasti sebagai lokasi kedua-dua pelajar berkenaan dipercayai berada.
Menurutnya, rondaan turut disertai beberapa wakil ibu bapa daripada Muafakat MRSM Alor Gajah dan wakil Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA.
“Pelajar ditemukan di dalam pusat perniagaan Central Market, Kuala Lumpur oleh pihak polis bersama semua yang terbabit.
“Wakil ibu bapa membantu memberikan bantuan awal serta menenangkan pelajar,” katanya.
Azaam berkata, kedua-dua pelajar kini berada di bawah pengawasan polis bagi proses merakam keterangan dan siasatan lanjut.
Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan daripada seorang guru kira-kira 10.46 malam, 11 Ogos lalu berhubung kehilangan dua pelajar tingkatan empat itu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar dilaporkan berkata, kedua-dua pelajar berkenaan masing-masing berusia 16 tahun.
Sebelum ditemukan, lokasi terakhir kedua-dua pelajar itu dilaporkan dikesan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini.- UTUSAN






