MUKADIMAH
SISTEM pendidikan negara pada masa kini tidak lagi berfokus kepada kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi soal membina generasi yang seimbang, berakar pada nilai, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan yang telah bertukar kepada automasi, robot dan kecerdasan buatan (AI).
Itu tekad Ketua Pengarah Pendidikan baharu, DR. MOHD. AZAM AHMAD sebaik dilantik pada 7 Julai lalu bagi menerajui sektor terpenting negara bagi mengembalikan penekanan kepada nilai kemanusiaan, adab dan akhlak sebagai asas utama pembangunan insan.
“Kalau kita hanya mahu lahirkan murid yang ‘bijak atas kertas’, negara, agama dan bangsa memerlukan insan yang mampu berfikir, berkualiti, dan berjiwa. Jika kita tidak memahami perkara ini hari ini, maka kita akan berdepan krisis lebih besar di mana generasi muda semakin hilang arah.”
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan AQILAH MIOR KAMARULBAID serta jurufoto, FAISOL MUSTAFA, bekas Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) itu juga mahu masa guru mengajar tidak diganggu-gugat sewenang-wenang, selain menjawab pelbagai isu melingkari masyarakat berhubung isu buli, kes Zara Qairina dan persepsi defisit kepercayaan kepada sistem pendidikan negara.
MINGGUAN MALAYSIA: Sebaik sahaja Dr. dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan, apakah fokus utama Dr. dalam sistem pendidikan negara?
DR. MOHD. AZAM AHMAD: Perkara pertama yang saya beri perhatian adalah memperkukuh gerak kerja serta memastikan dasar-dasar sedia ada di Kementerian Pendidikan (KPM) dapat dilaksanakan dengan baik. Kita sudah mempunyai dasar yang cukup baik untuk membangunkan generasi Malaysia Madani pada masa hadapan.
Oleh itu, melindungi masa instruksional (MMI) atau bahasa mudahnya adalah masa mengajar diberikan perhatian istimewa supaya keberadaan guru di sekolah dan di bilik darjah adalah semaksimum mungkin.
Saya akui proses pendidikan tidak terhad di bilik darjah atau dalam pagar sekolah tetapi keberadaan guru di sekolah amat penting.
Di sini, diminta pengetua dan guru besar hendaklah menyusun guru keluar secara strategik. Semua bahagian di KPM, jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) mesti merancang bersama-sama untuk tujuan ini.
Guru penting di sisi murid kerana bukan hanya untuk kecemerlangan akademik tetapi lebih daripada itu seperti membina nilai dan akhlak diri, membina kesejahteraan mental, psikologi dan emosi.
KEYAKINAN SISTEM PENDIDIKAN NEGARA MEROSOT?
Ada pandangan mengatakan keyakinan ibu bapa terhadap sekolah kerajaan semakin merosot hingga memilih sekolah swasta atau integrasi. Apa komen Dr.?
Saya melihat fenomena ini dari sudut positif. Usaha dari pelbagai dasar kerajaan telah berjaya membawa negara maju. Melalui sistem pendidikan inilah juga telah lahirkan generasi berpengetahuan, tahu merancang masa hadapan, kritis dan berfikiran terbuka.
Generasi ini kini berkeupayaan membuat pilihan, sama ada menghantar anak ke sekolah kerajaan, swasta atau integrasi. Untuk mengatakan sistem pendidikan kita gagal adalah tidak adil. Kita berdiri hari ini juga adalah daripada sistem pendidikan ini.
Sistem Pendidikan kita masih kukuh dan berkualiti. Perancangan untuk pendidikan ini dibangunkan bersama-sama mereka yang pakar dalam pedagogi, iaitu guru-guru yang cemerlang dalam bilik darjah. KPM juga melibatkan pakar akademik yang mempunyai ilmu pengetahuan tinggi dan pemegang taruh daripada pelbagai kumpulan yang berpengalaman luas.
Memang ada cabaran seperti isu buli atau gangguan seksual yang perlu ditangani. Tetapi membangunkan akhlak dan nilai diri murid bukanlah tanggungjawab guru atau sekolah semata-mata, ia memerlukan peranan semua pihak termasuk keluarga dan masyarakat.
Ya, sekolah ada peranannya dan sebab itu saya tegaskan MMI dan pematuhan garis panduan yang ada serta tidak teragak-agak untuk bertindak tegas. Ibu bapa dan masyarakat juga penting untuk memberikan nasihat yang baik dan teguran berhikmah.
STRATEGI TANGANI BULI
Apakah matlamat KPM dalam melancarkan inisiatif untuk sekolah yang berjaya capai sifar buli dan laungan anti-buli kerana ada yang memandang negatif?
Apa yang Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek maksudkan tentang pemberian insentif kepada sekolah yang dapat mengatasi gejala buli adalah jika ada sekolah yang banyak aduan tentang berlakunya buli di sekolah, tetapi pengurusan sekolah itu tidak menyembunyikan aduan itu, sebaliknya menyelesaikan isu buli yang berlaku itu, sehingga sekolah selamat, zero buli.
Insentif ini atas daya usaha mereka mengatasi cabaran gejala buli yang berlaku di sekolah, bukan maknanya sekolah yang tiada laporan-laporan itu diberikan insentif. Yang sembunyikan kes atau aduan buli atau gangguan seksual akan diambil tindakan tegas, tiada kompromi.
Kedua, tentang kempen gejala buli. Ia sama seperti kempen Saya Benci Dadah. Ia tidak bermakna dapat menghapuskan terus kes dadah. Setidak-tidaknya, pemikiran bawah sedar anak-anak, kita sudah mula tanamkan satu nilai bahawa buli ini kita benci. Ini sebagai satu daya usaha dalam banyak inisiatif yang kita laksanakan.
Bagaimana cara menangani isu buli di sekolah terutama dalam kalangan guru?
Apabila ada aduan buli, kita akan nilai. Kalau setakat dia usik-mengusik, ejek-mengejek sesama mereka, takkan kita terus kepada polis? Kita didiklah, ajar, nasihatkan dahulu, tegur, bagi amaran keras dan pantau. Kita panggil ibu bapa maklumkan kelakuan anak.
Kalau ejek-mengejek yang masih ringan hantar ke polis, berlambak nanti kes. Ibu bapa pun susah. Polis pun susah. Ini perlu difahami bersama-sama. Cikgu nasihat, bimbing di sekolah. Ibu bapa dan masyarakat tegur anak di rumah atau di kawasan tempat tinggal.
Pihak sekolah boleh menilai sejauh mana tahap kritikal aduan atau kes itu. Dari situlah kita kena bangunkan kebijaksanaan dan common sense pentadbir sekolah untuk menganalisis aduan-aduan itu supaya tahu tahap kritikal, aduan yang perlu buat laporan polis atau diberikan nasihat dan pemantauan sekolah. Advokasi dengan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam kalangan pegawai polis boleh dimanfaatkan dalam mengendalikan aduan yang ada.
Apakah pandangan Dr. berhubung persepsi masyarakat kita apabila timbul isu buli?
Kehidupan anak-anak di sekolah ini kadang-kadang berbeza di rumah. Kita bukannya mengurus robot yang kita boleh programkan. Kita urus manusia yang perlu kita didik kerana yang datang ke sekolah ini daripada pelbagai latar belakang. Daripada anak profesor kepada anak seorang penagih dadah. Daripada anak orang kaya kepada anak yang keluarga yang tak ada apa-apa.
Semua itu, guru-guru urus dengan kebijaksanaan. Sebab mesti bersama-sama dalam perkara ini. Jangan sesuatu perkara itu berlaku kita anggap itu semua sebab sistem pendidikan kita rosak.
Kalau sistem kita rosak, negara dan masyarakat kita tidak maju macam hari ini. Akibat media sosial, AI, KPM tegas untuk memperkukuh pendidikan manusiawi dan menjadikan pendidikan ini alat untuk membina karamah insaniah, iaitu adab, akhlak dan integriti.
Sejauh mana KPM memberi kuasa autonomi kepada pentadbir sekolah untuk menangani isu-isu buli ini?
Dalam isu buli ini, kita ada Garis Panduan Sekolah Selamat, Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) berkaitan pengendalian buli dan gangguan seksual. Jadi, kita minta cikgu-cikgu rujuk garis panduan ini dan common sense serta kebijaksanaan itu penting. Perbincangan dalam kalangan pentadbir sekolah yang lain, PPS mesti diadakan sebelum memutuskan sesuatu tindakan.
Kita pun ada tindakan bersama dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Akademik Perundangan Malaysia untuk memberikan kefahaman dari segi undang-undang berkaitan buli dan gejala-gejala negatif lain kepada pentadbir sekolah.
Sejauh mana penubuhan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan di institusi Pendidikan?
Jawatankuasa ini sudah pun bergerak dan melibatkan pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) penglibatan ibu bapa dan komuniti sekolah (PIBKS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Saya minta Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah untuk mengetuai jawatankuasa ini, bergerak segera dan dapat keluarkan dapatan pada Oktober.
Kedua, kita ada Jawatankuasa Semakan SOP dan Prosedur sekolah dan asrama yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH). Tindakan-tindakan perbincangan menyemak semula prosedur termasuk penyiasat undang-undang terlibat sama melihat semua dan akan dilaporkan.
Kita juga ada inisiatif audit asrama yang dilaksanakan oleh Nazir, iaitu arahan oleh Menteri Pendidikan sewaktu perbincangan kes buli diadakan. Nazir akan pergi pada waktu siang dan malam untuk lihat apakah elemen-elemen boleh diperincikan dan yang perlu kita buat untuk memastikan anak kita selamat di sekolah dan asrama.
Saya juga mengarahkan semua pengarah bahagian, pengurusan tertinggi termasuk pengarah pendidikan negeri, pegawai pendidikan daerah untuk membuat lawatan mengejut di sekolah dan asrama siang dan malam supaya kita dapat menilai situasi sebenarnya yang berlaku yang mengancam keselamatan sekolah sekali gus usaha untuk memperkukuhkan aspek keselamatan sekolah dan asrama dapat diambil.
Apakah cabaran generasi masa kini yang terlalu bergantung kepada penggunaan teknologi dan AI?
Inilah asas yang kita ingin bina iaitu menghargai martabat insan sebagai satu ciptaan yang mulia. Sayangnya, kadang-kadang kita terlupa atau kurang memahami hal ini. Kehidupan moden yang semakin mesinistik telah menjauhkan kita daripada nilai-nilai kemanusiaan.
Hari ini, cabarannya bukan kecil. Di luar sana, teknologi semakin maju. Jika salah langkah kita kehilangan arah dan jati diri. Apa yang membezakan manusia dengan robotik dan AI itu adalah nilai kemanusiaan itu sendiri. Inilah yang mesti ‘disenyawakan’ dalam proses pendidikan.
Kalau kita hanya mahu lahirkan murid yang ‘bijak atas kertas’, kita boleh gunakan kaedah spoon-feeding (menyumbat maklumat), drilling dan sebagainya. Tetapi itu bukan jawapan kepada cabaran sebenar, lebih-lebih lagi hari ini. negara, agama dan bangsa memerlukan insan yang berfikir, yang berkualiti, dan yang berjiwa.
Apakah risiko kepada generasi akan datang?
Jika kita tidak memahami perkara ini hari ini, maka kita akan berdepan krisis yang lebih besar seperti yang sedang berlaku di beberapa negara lain, di mana generasi mudanya semakin hilang arah, terlalu leka dengan gajet, hingga tidak lagi membina keluarga atau masyarakat. Akhirnya, mereka ‘berkahwin’ dengan gajet secara simbolik, terputus hubungan sosial dan nilai kemanusiaan.
Jika ini berlaku, kepada siapa kita ingin wariskan agama, bangsa dan negara? Sebab itu, banyak negara kini kembali memberi penekanan kepada nilai kemanusiaan sebagai asas utama pembangunan.
Kesedaran ini sebenarnya wujud dalam negara kita. Inilah yang saya bawa sebagai teras dalam peranan saya sekarang. Saya tidak perlu lagi bercakap soal STEM, literasi, atau transformasi digital kerana semua itu telah ada dasarnya.
Tetapi, sejauh manakah pelaksanaan itu benar-benar mampu membangunkan potensi setiap murid dan peranan yang boleh dimainkan oleh guru?
Pendidikan hari ini tidak cukup sekadar menyampaikan ilmu atau melahirkan murid yang cemerlang dalam peperiksaan. Ia perlu dibina atas prinsip kesedaran, persefahaman dan falsafah yang jelas tentang tujuan kita mendidik. Sebab itu, apabila saya mulakan tanggungjawab ini, saya tekankan kepentingan MMI dan peranan guru sebagai pembentuk generasi masa depan.
Kita tidak perlukan guru yang luar biasa geniusnya, tetapi kita perlukan guru yang sedar akan peranannya, yang memiliki ‘roh guru’, nyala rasa untuk mendidik, membina karakter dan mengangkat martabat anak-anak bangsa.
Hari ini, kita berdepan dengan cabaran yang sangat besar: automasi, digitalisasi, perubahan iklim, krisis ekonomi global, negara menua dan polikrisis nilai. Generasi kita bukan hanya perlukan ilmu, tapi nilai kemanusiaan bagi membina kemampanan dan kesejahteraan dalam cabaran baharu itu.
Kalau kita hanya ajar akademik semata-mata, robot dan AI boleh ganti. Tapi bila kita ajar nilai, akhlak, adab, itu tidak boleh dibuat oleh mesin. Kitalah manusia yang ada karamah insaniah yang berupaya laksanakan.
Seperti yang disebut dalam Deklarasi Incheon oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2015, pendidikan masa depan mesti bersifat inklusif, adil dan berorientasikan nilai kemanusiaan.
Pentaksiran bukan sekadar menilai tahap kognitif tetapi lebih daripada itu, termasuk nilai, kemahiran memimpin dan sebagainya. Malaysia tidak boleh ketinggalan.
KES ZARA QAIRINA
Langkah yang diambil KPM untuk mengurus persepsi awam dalam kes Zara Qairina?
Isu melibatkan arwah Zara Qairina adalah satu perkara yang amat menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia. Dalam hal ini, pihak KPM meletakkan sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan mengikut undang-undang.
Siasatan yang dimulakan di peringkat polis Sabah kini dipindahkan ke Bukit Aman. Beberapa laporan dan dakwaan telahpun dikemukakan, termasuk tindakan untuk mengadakan inkues. Kita percaya, melalui proses ini, keadilan untuk Zara Qairina akan dapat ditegakkan.
Keadilan untuk Zara adalah pendirian KPM dari peringkat menteri hingga ke seluruh warga pendidik. Tiada kompromi. Namun begitu, negara ini sebuah negara yang ada undang-undangnya. Saya ajak semua agar kita patuhi lunas undang-undang yang ada.
Dalam sekolah itu ada anak-anak kita juga yang sedang bertungkus-lumus mempersiapkan diri bagi menduduki SPM. Kita berikanlah ruang ketenangan emosi dan tumpuan kepada mereka untuk SPM. Mereka juga anak-anak kita yang menagih kasih sayang daripada kita.
Benarkah wujud penglibatan anak orang kenamaan (VVIP) dalam kes Zara Qairina?
Sekali lagi saya minta jika ada pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini dan adanya anak VIP, salurkanlah terus kepada pihak polis. Jangan jadikan kes anak kita, Zara ini untuk mempopularkan diri dengan pelbagai spekulasi dan pembohongan. Kes ini sebuah kesedihan, kehilangan yang tidak berganti. Tidak ada sesiapa akan dilindungi termasuk anak VVIP atau siapapun dia.
Negara kita ada saluran untuk kita mendapatkan keadilan. Jika tidak percaya kepada polis negeri, lapor kepada polis Bukit Aman. Jika tidak percaya polis Bukit Aman, adukan kepada Menteri Pendidikan. Jika Menteri Pendidikan pun tidak boleh, laporkan kepada Perdana Menteri. Tapi janganlah kita merendah-rendahkan integriti semua pihak, seolah-olah hanya kita yang tahu tentang dosa dan pahala.
Dakwaan KPM lambat respons terhadap krisis menyebab spekulasi ‘bertebaran’. Komen Dr.
Apa yang lebih membimbangkan adalah budaya membuat spekulasi tanpa fakta. Ada yang mencipta naratif palsu, sedangkan mereka tidak berada pun di lokasi kejadian. Ini hanya mengeruhkan keadaan dan menjejaskan nama baik keseluruhan warga sekolah dan KPM.
KPM bersedih dan semua pun bersedih dengan kehilangan, Zara Qairina. Pada hari kejadian itu, Menteri Pendidikan sempat menziarah keluarga arwah. Saya sendiri sempat menziarah arwah di hospital pukul 10:30 malam.
Tapi kita perlu bertenang dan rasional. Zara telah dijumpai dan dikatakan jatuh dari tingkat atas bangunan asrama. Zara telah dibawa ke hospital dan melalui prosedur rawatan. Zara menghembuskan nafas terakhirnya dan telah selamat dikebumikan. Kes Zara telah disiasat oleh polis.
KPM berikan kepercayaan dan keyakinan pada polis. Tidak mahu ganggu siasatan. Ini pendekatan yang diambil.
Mungkin ada kes yang perlu diberikan respons segera kerana tidak tahu tempat kejadian, tidak tahu situasi semasa, hilang tanpa tanda, ahli keluarga menanti tanpa dapat melihat wajah kesayangan, tidak dalam siasatan polis. Pendekatan untuk respons segara suatu kemestian.
Pendidikan bukan medan fitnah atau perbalahan sesama kita. Marilah kita bersama-sama berdoa agar dipermudahkan urusan untuk kita dapatkan keadilan untuk Zara Qairina dengan segera.
Percayalah, pihak berkuasa akan berjaya merungkaikan segala kekusutan yang ada. Kita doakan Zara Qairina tenang bersemadi di sana. Kita curahkan kasih dan sayang pada anak kita yang ada di sisi kita, iaitu di sekolah itu yang sentiasa dahagakan pendidikan.
Apa tindakan lanjut oleh KPM berhubungi kes Zara ini?
Apabila timbul tohmahan dan tindakan daripada sesetengah pihak yang berupa tekanan dan ancaman, KPM telah menempatkan sementara pengetua, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan warden asrama ke JPN Sabah. Mereka ini digantikan dengan kumpulan pegawai dan guru lain. Tindakan ini penting bagi memastikan mereka ini tidak berada dalam tekanan dan ancaman.
Sekolah pula berjalan seperti biasa. Guru dan murid dilaporkan seronok melalui proses pembelajaran walaupun kadang-kala ada terganggu sehingga sekolah terpaksa bercuti dengan ganti. Jika ada ancaman, pihak sekolah dan JPN Sabah akan merujuk kepada pihak polis dan mengambil tindakan menurut nasihat pihak polis.
Fokus sekarang ini adalah untuk memastikan anak-anak kita yang akan mengambil SPM dapat ruang cukup untuk belajar dan mengulang kaji, di samping ruang untuk kesejahteraan mental, psikologi dan emosi. JPN Sabah telah menurunkan pasukan kaunseling untuk inisiatif psikososial bagi warga sekolah, khususnya murid. – Mingguan Malaysia






