EVOLUSI untuk reka bentuk rumah mampu milik yang terkini turut diberikan penekanan yang mendalam oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana seperti B40 dan M40.
Golongan ini tidak hanya mengejar rumah yang berdaya maju, tetapi juga menginginkan ketersediaan rumah yang mempertimbangkan aspek-aspek praktikal dan keselesaan dalam kehidupan seharian.
Penting untuk diakui bahawa kepelbagaian dalam reka bentuk rumah mampu milik dapat memberikan impak positif terhadap kualiti hidup golongan itu.
Perubahan positif dalam reka bentuk dan infrastruktur rumah mampu milik tidak hanya memperkukuhkan identiti tempat tinggal, tetapi juga mencerminkan komitmen terhadap pembangunan yang mampan dan merangkumi.
Ia disebabkan penduduk rumah mampu milik seperti PR1MA dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sering dikaitkan sebagai ‘kelas ketiga’ atau terpinggir, walaupun mereka juga mengeluarkan wang untuk membeli rumah itu.
Orang ramai turut memberikan pendapat untuk melihat reka bentuk rumah mampu milik yang lebih terkini dan moden serta diperbanyakkan lagi projek-projek perumahan itu untuk membantu golongan itu menikmati kehidupan yang lebih dipandang tinggi.
Penjawat awam, Muhammad Ridzwan Mohd. Rashid, 29, berkata, pembeli dan penghuni rumah mampu milik juga menginginkan reka bentuk yang baharu dan segar.
Jelas Ridzwan, perubahan itu akan menukarkan persepsi orang ramai terhadap penghuni rumah mampu milik terutama rumah jenis bertingkat.
“Dengan cara ini, rumah mampu milik tidak terlihat sebagai tempat tinggal yang kumuh, tetapi boleh jadi pembangunan mampan dan holistik yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya kepada Nexbyte.
Tambahnya,menempatkan elemen-elemen praktikal seperti penggunaan ruang yang efisien, reka bentuk mesra pengguna dan terkini, penghuni rumah mampu milik akan menikmati kesejahteraan dan kualiti hidup yang setara.
Bagi, operator kilang swasta, Muhammad Syahmi Salehudin, 25 berkata, kebanyakan orang golongan berpendapatan rendah turut inginkan keluasan rumah mampu milik yang lebih besar berbanding sekarang.
“Apabila rumah kecil agak sukar untuk menghias dengan lebih cantik dan tiada aliran pengudaraan yang bagus,” katanya.
Justeru, katanya, bentuk rumah moden juga keutaman semua orang kerana mengikut peredaran zaman sekarang.
Syahmi berkata, aspek keselamatan dan pengangkutan awam juga memainkan peranan untuk lebih dekat dengan rumah bagi memudahkan pergerakkan.
“Kemudahan ini terutamanya untuk ke tempat kerja dan sekolah sebenarnya turut harus diambil berat juga walaupun ia hanya rumah mampu milik seperti PPR,” katanya.
Dalam pada itu, guru tadika, Norashikin Masodi, 42 berkata, penting untuk mengubah pandangan orang ramai mengenai rumah mampu milik yang selalu mempunyai bentuk kotak dan kurang menarik.
“Saya rasa reka bentuk yang lebih menarik dan mengikut peredaran zaman dapat memberikan keunikan kepada setiap projek rumah mampu milik,” katanya.
Ujarnya, penggunaan elemen seni bina kreatif, penggabungan teknologi hijau dan bahan binaan inovatif meningkatkan estetika dan daya tarikan, sekali gus mencipta tempat tinggal yang lebih menyenangkan dan dihargai oleh penghuninya dan masyarakat.
Beliau memberi pandangan bahawa elemen flora seperti taman kecil atau kawasan rekreasi hijau boleh menjadi tambahan yang berharga dalam reka bentuk rumah mampu milik.
“Ini tidak hanya memberikan keindahan visual, tetapi juga memberi peluang kepada penduduk untuk bersosial dan meningkatkan kualiti hidup komuniti secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berharap transformasi reka bentuk rumah mampu milik dapat meningkatkan kualiti hidup penghuni dan dapat dibanggakan.





