HOUZKEY merupakan satu pembiayaan pemilikan rumah yang ditawarkan oleh Maybank Islamic Berhad (MIB) bagi membantu pembeli rumah pertama dan kedua rakyat Malaysia memiliki rumah idaman mereka.
Skim itu tersedia untuk hartanah yang ditawarkan oleh rakan pemaju MIB yang meliputi hartanah yang baharu dilancarkan, sedang dalam tempoh pembinaan dan projek yang telah siap.
Wakil HouzKEY berkata, pembeli rumah hanya perlu membayar tiga bulan deposit cagaran dan dapat menikmati pembiayaan 100 peratus, tiada pembayaran bulanan semasa tempoh pembinaan serta bayaran bulanan yang rendah.
“Melalui HouzKEY, pembeli hanya membayar tiga bulan deposit cagaran yang boleh dipulangkan pada akhir tempoh pembiayaan dan tiada pendahuluan seperti 10 peratus deposit daripada harga perjanjian jual beli.
“Dengan pilihan penyelesaian pembiayaan yang fleksibel tersedia sepanjang tempoh pembiayaan, pelanggan boleh memilih untuk memiliki hartanah dengan kadar harga yang tertakluk semasa penerimaan tawaran tanpa meragui harga hartanah semasa di masa hadapan,” katanya kepada Nexbyte.
Jelas wakil itu, produk itu berlandaskan kontrak Syariah Ijarah Muntahiyah Bi Tamlik yang merupakan kontrak pajakan yang berakhir dengan pemilikan melalui penjualan.
“Bagi hartanah yang sedang dalam tempoh pembinaan, ia juga berlandaskan kepada kontrak Syariah yang sama dengan penggunaan Ijarah Mawsufah fi zimmah yang merupakan kontrak pajakan masa hadapan, di mana hartanah akan disediakan pada suatu tarikh pada masa hadapan berdasarkan spesifikasi yang dipersetujui,” ujarnya.
Jelasnya, HouzKEY boleh dimohon oleh rakyat Malaysia yang berumur antara 18 tahun hingga 70 tahun dan mengemukakan sehingga tiga penjamin daripada ahli keluarga terdekat sahaja.
Sementara itu, katanya, Skim HouzKEY hanya ditawarkan untuk projek-projek perumahan bersama pemaju terpilih yang bernilai dari RM 250,000 dan ke atas.
“Biasanya, pembeli rumah yang menggunakan skim HouzKEY akan membeli rumah sehingga bernilai RM1.0 juta, tertakluk kepada terma dan syarat Bank,” katanya.
Beliau berkata, HouzKEY telah membantu lebih daripada 6,000 rakyat Malaysia memiliki rumah pertama mereka dengan bekerjasama dengan lebih daripada 80 pemaju dan 175 projek di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sabah sejak penubuhannya pada 2018.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Pemasaran & Jualan dan Pembangunan Perniagaan Tropicana Corporation Berhad, Ixora Ang berkata, Tropicana turut bekerjasama bersama Maybank Islamic buat kali kelima dalam program HouzKEY bagi membantu pembeli-pembeli projek perumahannya.
Beliau berkata, kerjasama menang-menang itu membantu pembeli rumah pertama dan mereka yang ingin menambah rumah sekarang boleh melakukannya tanpa bimbang tentang kos awal yang tinggi.
“Ini juga memberikan fleksibiliti yang lebih besar dan kecekapan aliran tunai yang direka khas untuk membantu mereka yang bercadang untuk menjadi pemilik rumah tetapi tidak dapat melakukannya kerana had kekangan bajet,” katanya.
Ixora berkata, Tropicana sentiasa membangunkan produk berkualiti yang dipadankan dengan penyelesaian pembiayaan yang inovatif.
‘Kerjasama Tropicana dengan HouzKEY Maybank Islamic menyediakan pembiayaan kepada pembeli Malaysia untuk meringankan beban mendapatkan pinjaman rumah bagi pembeli rumah pertama dan kedua.
“Pelanggan akan menikmati pembiayaan 100 peratus tanpa pembayaran semasa tempoh pembinaan dan akan membayar pembayaran bulanan yang lebih rendah selepas penyelesaian,” katanya.
Tambahnya, Tropicana kini juga merupakan pemaju pertama yang menawarkan pakej perabotan IKEA Malaysia yang menarik untuk pelanggan HouzKEY Maybank Islamic.
“Pakej perabot oleh IKEA Malaysia boleh didapati untuk pembeli rumah sedia ada Tropicana Metropark SouthPlace 1 Serviced Residences kerana mereka akan segera menerima kunci rumah baru mereka,” katanya. – UTUSAN





