Bukan semua kucing gemar bermanja di riba atau menggesel tubuh pada kaki pemiliknya.
Ada juga yang memilih cara lebih menghiburkan, termasuk bersembunyi sebelum membuat ‘serangan hendap’.
Begitulah gelagat seekor kucing jalanan bernama Chek yang menjadi teman setia Nasrullah Al-Hussaini, 25.
Setiap kali melihat pemiliknya melintasi kawasan tertentu, Chek akan bersedia dari tempat persembunyian sebelum melompat dan menerkam kaki Nasrullah.
Walaupun sering membuatkan dirinya terkejut, aksi tersebut tidak pernah menimbulkan rasa marah, sebaliknya menjadi rutin lucu yang sentiasa menceriakan hari-harinya sejak memelihara Chek empat tahun lalu.
Menurut Nasrullah yang berasal dari Selangor itu, minat terhadap kucing sudah berputik sejak kecil apabila dia gemar bermain dengan kucing jalanan yang sering ditemui di sekitar rumah.
“Saya memang suka tengok dan bermain dengan kucing di tepi jalan sejak kecil. Lama-kelamaan saya teringin hendak bawa pulang seekor untuk dipelihara sendiri,” katanya kepada Seri.
Hasrat itu akhirnya menjadi kenyataan apabila seekor kucing jalanan yang sering bermain di rumah keluarganya melahirkan dua ekor anak di halaman rumah.
Namun, hanya seekor anak kucing berjaya membesar dan dipeliharanya sehingga kini.
“Nama sebenarnya Kecik, tetapi saya lebih selesa memanggilnya Chek. Dia kini berusia empat tahun dan memang saya pelihara sejak hari dia dilahirkan,” katanya.

Bermula dengan satu kejutan
Gelagat unik Chek mula disedari secara tidak sengaja apabila Nasrullah menyangka kucing kesayangannya itu hilang dari rumah.
Menurutnya, Chek mempunyai masalah pendengaran yang menyebabkannya sukar dipanggil, sekaligus membuatkan pencariannya ketika itu menjadi lebih mencabar.
“Saya carinya satu rumah tetapi langsung tidak jumpa. Tiba-tiba dia keluar dari bawah meja yang ditutup dengan kain lalu terus menerkam kaki saya.
“Masa itu memang saya terkejut sebab ingatkan ia hilang, rupa-rupanya dia cuma menyorok dan hendak bermain,” jelasnya.
Sejak kejadian itulah, aksi tersebut menjadi tabiat kegemaran Chek yang masih dilakukan sehingga hari ini.
Sorok muka, badan masih nampak
Katanya, Chek gemar memilih kawasan di sebalik perabot sebagai tempat bersembunyi sambil mengintai pergerakan pemiliknya yang sedang berjalan.
Apa yang menghiburkan, si bulus itu seolah-olah menyangka dirinya sudah bersembunyi dengan sempurna apabila hanya menyembunyikan mukanya, sedangkan badannya yang agak berisi masih jelas kelihatan.
“Ia rasa kita tidak nampak dia, padahal badan dia masih nampak sebab dia agak gemuk. Itu yang selalu buat saya ketawa,” katanya.
Sebaik sahaja Nasrullah menghampiri kawasan tersebut, Chek akan terus melompat dan menerkam kakinya sebagai tanda mahu bermain.
Antara momen paling diingatinya ialah apabila Chek pernah berdiri menggunakan kedua-dua kaki belakang sebelum memeluk kakinya.
“Itu memang jarang berlaku. Saya rasa sangat comel sebab ia berdiri dua kaki sambil peluk kaki saya,” katanya.
Walaupun kelihatan seperti serangan hendap, Nasrullah percaya Chek sebenarnya tidak berniat untuk menyerang, sebaliknya hanya mahu mengajak bermain.
Katanya, tingkah laku seperti berlari, menggigit secara manja atau menerkam pemilik merupakan cara semula jadi kucing melepaskan tenaga dan menghilangkan tekanan.
“Bagi saya itu normal. Dia tidak pernah mencederakan saya. Dia cuma hendak bermain dan melepaskan tenaga,” jelasnya.
Ujarnya, tabiat tersebut boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira waktu tertentu.
“Sebaik sahaja dia nampak saya hendak lalu di kawasan tempat dia menyorok, dia akan terus bersedia untuk menerkam kaki saya,” katanya.
Lebih menarik, gelagat tersebut hanya dilakukan terhadap Nasrullah dan tidak pernah ditunjukkan kepada ahli keluarga lain.

Menurutnya, situasi itu sering membuatkan keluarganya terhibur, malah ada yang berasa cemburu kerana layanan istimewa itu hanya diberikan kepadanya.
“Keluarga saya suka tengok perangainya. Mereka gembira, tetapi pada masa sama cemburu sebab perkara itu hanya berlaku dengan saya sahaja,” katanya.
Selain gemar melakukan aksi serangan hendap, Chek juga pernah mempunyai satu lagi tabiat unik sebelum mereka berpindah rumah.
Chek gemar mengejar barang yang dibaling sebelum membawanya semula kepada tuannya, seolah-olah bermain seperti seekor anjing.
Namun, selepas berpindah ke kediaman baharu, tabiat tersebut semakin hilang dan digantikan dengan aksi menyorok yang kini menjadi kegemaran Chek.
Setiap kucing mempunyai personaliti dan cara tersendiri dalam menunjukkan kemesraan kepada pemilik.
Keunikan perangai Chek itulah yang menjadikan pengalaman memelihara haiwan tersebut lebih bermakna dan tidak dapat dilupakan.






