DIPENUHI mercu tanda seni bina yang berdiri selama berabad, lorong-lorong sempit di Kota Lama Kaherah menjadi pintu masuk ke zaman terawal ibu negara Mesir itu.
Kawasan bersejarah tersebut menjadi sumber inspirasi kepada ramai artis dan penulis selama bertahun-tahun, termasuk dua beradik dari Mesir, Aya dan Mounaz Abdelraouf.
“Kami berasa seolah-olah hidup pada zaman yang berbeza. Seakan-akan dunia berhenti berputar,” kata Aya, mengimbau lawatan mereka ke kawasan itu lebih sedekad lalu.
Apa yang memikat hati mereka adalah hasil pertukangan tangan yang ditemukan di sana, apabila pengusaha kraf tembaga terus mewariskan kemahiran mereka dari satu generasi ke generasi berikutnya untuk menghasilkan lampu hiasan, barang kemas dan peralatan meja yang indah.
Pengalaman itu menjadi ilham kepada jenama mewah mereka, Okhtein, bermaksud dua beradik perempuan dalam bahasa Arab, yang menggabungkan warisan dan seni pertukangan Mesir dalam rekaan beg tangan unik.
Bagi beberapa koleksi ikonik mereka, badan beg dihasilkan daripada tembaga yang diukir atau mempunyai kemasan jalur, kemudian digabungkan dengan bahan lain seperti kulit.
“Tembaga sentiasa menjadi elemen utama. Itulah sebabnya beg kami dianggap sebagai barangan koleksi,” kata Mounaz.
Kebanyakan beg keluaran Okhtein menampilkan motif palmette iaitu corak daun pokok palma berbentuk kipas.
Rekaan itu diilhamkan daripada motif yang ditemukan mereka di Kota Lama Kaherah, pada dinding di sebalik fasad gaya Gothic Madrasa Ibn Qalawun, sebuah sekolah agama dan makam yang dibina sejak abad ke-13.
Menurut Aya, pada zaman dahulu motif palmette digunakan sebagai tanda hentian atau pemisah dalam karya puisi dan juga ayat-ayat al-Quran.

IDENTITI MESIR
Jenama Okhtein kini mendapat perhatian peminat fesyen di seluruh dunia, dengan selebriti terkenal seperti Beyonce, Gigi Hadid dan Emma Watson antara yang pernah dilihat menggayakan keluaran mereka.
Aya berkata, setiap rekaan dihasilkan bagi mencerminkan sejarah Mesir yang kaya dengan pelbagai lapisan budaya serta persimpangan tamadun menerusi sentuhan halus.
“Ia bukanlah beg berbentuk piramid yang terus menonjolkan identiti Mesir secara jelas,” katanya.
Mounaz pula berkata, Mesir mempunyai identiti yang jauh lebih luas daripada sekadar tamadun purba.
“Mesir bukan hanya Mesir purba. Ia adalah sebuah negara di Afrika Utara, Asia Barat, dunia Arab, selain mempunyai warisan Koptik dan Islam yang membentuk identitinya,” katanya.
Selain memiliki butik di Kaherah, Dubai dan Riyadh, Okhtein baru-baru ini membuka sebuah lagi butik di dalam Muzium Besar Mesir yang terletak berhampiran Piramid Giza. Ia merupakan antara muzium terbesar di dunia yang didedikasikan khusus kepada satu tamadun.
Mounaz berkata, pembukaan butik di muzium itu turut memberi peluang kepada pelancong membawa pulang sebahagian daripada budaya Mesir moden menerusi hasil rekaan jenama berkenaan.
“Setiap pelawat yang datang berpeluang membawa pulang secebis daripada sejarah Mesir bersama mereka,” katanya.

PERNIAGAAN KELUARGA
Sejak dilancarkan pada 2014, Okhtein berkembang daripada jenama beg tangan mewah kepada jenama gaya hidup yang turut menawarkan koleksi barang kemas dan aksesori.
Kini, jenama itu bekerjasama dengan pengusaha kraf daripada pelbagai negara bagi menghasilkan rekaan mereka, termasuk sulaman dari India serta panel penutup beg yang dihasilkan di Itali.
Operasi dan perkembangan syarikat pula diuruskan oleh adik lelaki mereka.
Minat terhadap dunia fesyen sememangnya mengalir dalam keluarga mereka. Sebelum Okhtein ditubuhkan, datuk Aya dan Mounaz memiliki sebuah kedai fabrik serta mengimport tekstil dari seluruh dunia.
Urusan perniagaan turut membawa beliau bersama isterinya ke kota-kota fesyen terkenal seperti Paris dan Milan.
“Ayahanda kami sangat bergaya. Nenek kami pula kelihatan seperti seorang model.
“Kami boleh menghabiskan masa berjam-jam di dalam almari pakaiannya. Rasanya seperti melangkah ke dunia fesyen vintaj, sebelum istilah vintaj itu sendiri menjadi popular,” kata Aya sambil mengimbau kenangan zaman kecil.
Menurut Aya, nenek mereka banyak menyemai minat terhadap dunia fesyen dan memperkenalkan mereka kepada material kulit, yang kemudiannya menjadi antara elemen utama dalam rekaan Okhtein.
Kini, dua beradik itu sedang meneliti semula koleksi gambar lama nenek mereka sebagai inspirasi untuk menghasilkan koleksi musim sejuk 2027, sekali gus sebagai penghormatan kepada memori dan gaya fesyen wanita yang menjadi sumber inspirasi terbesar mereka.






