Konsep dekorasi chinoiserie belum begitu meluas pada kebanyakan kediaman di Malaysia.
Namun, gabungan seni Timur dan sentuhan Eropah ini sudah lama mendapat tempat dalam kalangan pencinta dekorasi klasik di seluruh dunia.
Keistimewaan tersebut mendorong Arma Mohd. Faizal Abu Bakar menjadikannya sebagai identiti utama di kediaman semi-D miliknya di Terengganu.
Ujarnya, konsep chinoiserie mempunyai karakter tersendiri yang mampu mewujudkan suasana elegan, sofistikated dan malar segar.
“Sejak mendiami rumah ini pada 2014, hasrat saya adalah untuk menjadikannya sebagai ruang yang bukan sahaja selesa, malah mempunyai identiti dan nilai estetika tersendiri.
“Asalnya, ia dihias dengan konsep dekorasi berbeza sebelum melalui proses transformasi secara berperingkat bermula pada 2020 sehingga menampilkan wajah chinoiserie seperti hari ini.
“Di Malaysia, chinoiserie masih agak eksklusif berbanding konsep moden, minimalis dan Scandinavian yang lebih menjadi pilihan kebanyakan pemilik rumah,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Arma Mohd. Faizal percaya sesebuah rumah sentiasa berkembang dan berubah mengikut pengalaman serta cita rasa pemiliknya.

Oleh itu, dia tidak tergesa-gesa menyiapkan dekorasi, sebaliknya membentuk setiap ruang mengikut kesesuaian, fungsi dan koleksi yang ditemui dari semasa ke semasa.
Dari segi inspirasi, katanya, rujukan diperoleh daripada laman web, majalah serta karya pereka hiasan dalaman dari dalam dan luar negara.
Namun, segala idea, pemilihan dekorasi dan susun atur ruang tetap diolah mengikut imaginasi serta cita rasanya sendiri.
“Proses dekorasi tidak terlalu teknikal mengikut peraturan reka bentuk dalaman, sebaliknya lebih kepada cita rasa dan karakter diri saya,” katanya.
Bagaimanapun, dia turut mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga yang mempunyai latar belakang dalam bidang reka bentuk dalaman sebagai rujukan dan panduan.
Teliti keharmonian ruang
Karakter kediaman ini diterjemahkan menerusi gabungan corak klasik, pemilihan warna, aksesori dekoratif dan elemen chinoiserie yang disusun secara harmoni.
Bagi mengekalkan keseimbangan ruang, pensyarah kanan ini mengelakkan penggunaan dekorasi secara berlebihan supaya setiap elemen dapat melengkapi antara satu sama lain.
Malah, padanan warna, tekstur, corak dan pencahayaan turut diberi perhatian bagi memastikan setiap ruang tampil seimbang.
Dalam pada itu, katanya, pemilihan perabot dan aksesori pula dibuat tanpa terikat kepada jenama, kedai atau trend tertentu.
Sebaliknya, Arma Mohd. Faizal lebih menitikberatkan kesesuaian setiap item dengan konsep keseluruhan rumah.

“Selain ditempah khas dari Indonesia, ada juga barangan yang dipilih kerana keunikan reka bentuk serta karakternya,” katanya.
Di sebalik keunikan konsep chinoiserie, dia mengakui proses dekorasi kediaman ini mencabar terutama dalam memastikan setiap elemen serasi antara satu sama lain.
“Konsep ini menuntut keseimbangan dari segi padanan warna, corak dan aksesori kerana penggunaan berlebihan boleh menyebabkan ruang tampak terlalu padat serta bercelaru.
“Malah, mendapatkan barangan yang benar-benar menepati konsep juga memerlukan masa, kesabaran dan penelitian,” katanya.
Pendiang api
Keunikan kediaman ini turut terserlah menerusi sudut pendiang api yang jarang menjadi pilihan pemilik rumah di Malaysia.
Elemen itu bukan sahaja menjadi titik tumpu ruang, malah berjaya mewujudkan suasana yang lebih hangat, klasik dan elegan.

“Ini merupakan ruang kegemaran saya kerana di sinilah saya meluangkan masa untuk berehat, membaca dan melayan tetamu yang berkunjung.
“Bahkan, sudut ini juga sering menjadi lokasi pilihan untuk bergambar bersama tetamu,” katanya.






