PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan keadaan terkini Faisal Abdul Halim dalam keadaan menyedihkan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali petang tadi.
Hamidin ketika ditemui selepas melawat pemain Faisal di hospital itu turut berharap pemain sayap kanan Harimau Malaya itu segera pulih selepas mendapatkan rawatan.
“Kondisi dia cukup saya katakan menyedihkan. Saya berharap Faisal, isteri dan keluarga akan tabah akan dugaan ini. Bahagian kaki dia nampak tiada apa-apa. Bahagian tangan kiri, badan belah kiri rusuk dan bahu yang cedera.
“Saya katakan kepada dia agar melupakan seketika bola sepak dalam tempoh beberapa bulan yang mendatang untuk dia sembuh sepenuhnya daripada asid yang terkena badannya,” katanya.
Sementara itu, Hamidin turut menyeru agar semua pemain bola sepak kebangsaan sentiasa menjaga diri agar perkara buruk itu tidak berulang.
Terdahulu, Selangor FC mengesahkan pemain sayapnya itu telah menjadi mangsa simbah asid hari ini.
Susulan perkara itu, pihaknya juga akan bertegas dan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan ‘dalang utama’ insiden membabitkan pemainnya.
“Dukacita dimaklumkan bahawa pemain Selangor FC, Faisal Halim telah menjadi mangsa serangan asid petang tadi.
“Selangor FC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak PDRM serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terlibat,” katanya Selangor FC.-UTUSAN






