SHAH ALAM: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berharap pihak polis mengumumkan hasil siasatan terkini berhubung kes membabitkan pemain Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim.
Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, polis perlu memaklumkan perkembangan terkini kes itu kerana rakyat Malaysia mahu mengetahui situasi semasa kes tersebut.
“Kes masih lagi berjalan tapi saya harap (polis) siasat betul-betul kes ini. Saya juga harap Ketua Polis Negara boleh maklum siasatan kes ini daripada masa ke semasa kerana Faisal adalah hero negara dan mempunyai ramai pengikut,” katanya selepas melawat Faisal di sebuah hospital swasta.
Nexbyte sebelum ini melaporkan pemain yang terkenal dengan gelaran ‘Mickey’ itu disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Damansara pada 5 Mei lalu.
Sementara itu, Shahril memaklumkan polis sudah dua kali mengambil keterangan Faisal, yang mana kali terakhir keterangan pemain itu diambil pada minggu lepas. – UTUSAN






