LONDON: Real Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas menewaskan Borussia Dortmund 2-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Wembley, sebentar tadi.
Kejayaan itu menjadi mimpi indah buat Real apabila muncul sebagai juara Eropah buat kali ke-15 dalam sejarah penubuhan kelab berkenaan.
Dani Carvajal dan Vinicius Jr menjadi wira buat Real apabila meledak gol kemenangan biarpun mereka dilihat lebih banyak diasak oleh Dortmund dalam perlawanan berkenaan.
Carvajal menanduk bola sepakan sudut diambil Toni Kroos pada minit ke-74, dan hanya selepas jaringan itu skuad kendalian Carlo Ancelotti mula mendominasi permainan.
Vinicius menolak masuk gol kedua Real pada minit ke-83 untuk memastikan gelaran Eropah ke-15 Real.
Ia kekalahan yang memeritkan buat kelab Jerman itu selepas beberapa peluang keemasan membuka jaringan di babak pertama gagal dimanfaatkan, terutama menerusi percubaan jarak dekat Niclas Fullkrug yang terkena tiang.
Fulkrug berjaya menewaskan penjaga gol Real, Thibaut Courtois di akhir permainan, namun jaringan berkenaan tidak dikira kerana ofsaid.
“Saya tidak biasa dengannya, kerena ia sangat sukar, lebih daripada yang dijangka. Di babak kedua kami lebih baik, lebih seimbang, kurang kesilapan.
“Ia adalah impian yang berterusan. Di babak pertama kami sambil lewa, kerap hilang bola dan mereka bermain seperti dirancang,” kata pengendali Real, Carlo Ancelotti.- AGENSI






