PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yakin dirinya berada pada tahap tertinggi untuk meraih emas di Sukan Olimpik Paris 2024..
Azizulhasni juga percaya dirinya mampu memberi ‘hadiah’ terakhir buat Malaysia sebelum mengumumkan persaraannya selepas acara sukan terbesar dunia itu berakhir.
“Saya berada dalam kondisi yang sangat baik menjelang di Paris. Saya bersyukur kerana dapat menggunakan basikal baharu pada kem latihan di Sepanyol.
“Bagi saya, ini acara kemuncak saya untuk meraih pingat emas biarpun saya sedar akan mendapat tentangan sengit daripada pelumba Belanda, Jepun, Australia dan juga Great Britain.
“Saya berazam dan mahu membuktikan serta membalas kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini dengan membawa pulang pingat emas pertama negara,” katanya.
Terdahulu, Azizulhasni bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Nurul Izzah Izzati Mohd Asrimenerima kunjungan ketua kontinjen Malaysia ke Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin di kem latihan di Mallorca, Sepanyol
Sementara itu, Hamidin menyifatkan tiga pelumba negara itu mendapat suntikan semangat selepas dapat menggunakan basikal teknologi baharu WX-R Vorteq dari United Kingdom sebagai ‘senjata’ utama di Paris.
“Saya lihat John Beasley gembira tiga pelumba itu dapat menggunakan basikal WX-R itu dalam sesi latihan mereka. Sudah tentu ianya menjadi motivasi dan menginjakkan semangat mereka ketika kejohanan.
“Mengikut pemerhatian saya daripada sesi latihan kelmarin, saya melihat Azizulhasni, Shah Firdaus dan juga Nurul Izzah mempamerkan satu semangat dan sedia mengegarkan bumi Paris di Olimpik nanti,” kata Hamidin.
Azizulhasni yang membakal membuat kemunculan kelima di pentas Olimpik bersama Shah Firdaus akan memulakan saingan dengan aksi kelayakan acara pecut manakala Nurul Izzah meneruskan penampilan sulungnya menerusi aksi kelayakan acara keirin pada 7 Ogos ini.-UTUSAN






