ALOR SETAR: Ketiadaan Syafiq Ahmad yang tidak dapat diturunkan ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam ini bukan sesuatu yang menggusarkan Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain.
Menurut Nafuzi, beberapa calon kini berada dalam radarnya untuk menggantikan tempat Syafiq bagi memastikan barisan serangan Sang Kenari tidak ‘longlai’ dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala FA itu nanti.
“Kita ada pilihan lain untuk mengisi kekosongan Syafiq. Penilaian akan dilakukan bagi memilih pemain yang sesuai menggantikannya.
“Untuk penyerang utama pun saya ada pilihan sama ada untuk turunkan Milos Gordic atau Ebenezer Assifuah. Kedua-duanya sedia diturunkan pada bila-bila masa, bergantung kepada cara mana kita mahu bermain nanti,” katanya.
Syafiq tidak dapat diturunkan dalam perlawanan menentang JDT berikutan statusnya sebagai pemain yang dipinjam daripada pasukan Harimau Selatan itu.
Pemain itu nyata memainkan peranan penting buat Sang Kenari musim ini termasuk menghasilkan jaringan cukup cantik ketika KDA FC menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di laman sendiri, minggu lalu.
Sementara itu, Nafuzi berkata, KDA FC tidak bercadang untuk turun dengan taktikal mahu pun gaya permainan berbeza apabila melayan kunjungan JDT kali ini.
“Saya berpesan kepada pemain agar bermain seperti biasa. Kita tidak berhasrat untuk melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan pun.
“Cumanya apabila bertemu JDT, kami perlu beri lebih perhatian terhadap aspek disiplin dan fokus kepada permainan. Jangan terleka sedikit pun kerana setiap minit adalah penting apabila bertemu mereka,” katanya.
Tambahnya, beliau tidak merasakan para pemain akan mengalami tekanan atau gentar untuk berdepan Harimau Selatan.-UTUSAN






