LONDON: Pertembungan Manchester City berdepan Liverpool bakal menjadi tumpuan utama suku akhir Piala FA, manakala Arsenal yang memburu empat trofi musim ini akan bertandang ke Southampton.
Undian pusingan suku akhir yang berlangsung semalam turut menyaksikan Chelsea menerima kunjungan kelab Liga Satu, Port Vale, yang mengejutkan Sunderland 1-0 pada pusingan kelima, kelmarin.
Sementara itu, West Ham pula akan melayan kunjungan Leeds selepas mara hasil kemenangan 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Brentford selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2, semalam.
Bagiamanapun, tumpuan utama pastinya terarah kepada pertemuan terbaharu antara City dan Liverpool yang pastinya menjanjikan pertembungan sengit anak buah Pep Guardiola dan Arne Slot.
Skuad kendalian Guardiola sudah dua kali menewaskan Liverpool musim ini, iaitu kemenangan 3-0 di Manchester pada November dan 2-1 di Anfield pada Februari.
Ia juga menjadi pertemuan pertama kedua-dua kelab dalam Piala FA sejak Liverpool menang 3-2 pada separuh akhir edisi 2022.
Liverpool yang menewaskan Wolves 3-1 pada pusingan 16 terakhir sudah menjulang trofi Piala FA lapan kali, dengan kali terakhir pada 2022.
Pemenang tujuh kali City, yang menewaskan Newcastle 3-1 pada pusingan kelima, kali terakhir menjulang trofi itu pada 2023.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal mara ke suku akhir selepas menang 2-1 ke atas kelab divisyen ketiga, Mansfield Town.
Pasukan kendalian Mikel Arteta itu akan berdepan Southampton yang beraksi dalam Liga Kejuaraan dan mencipta kejutan menewaskan Fulham 1-0 pada pusingan kelima. – AGENSI/UTUSAN






