KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mempamerkan aksi luar biasa untuk mengejutkan pilihan kedua kejohanan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 19-21, 21-7, 21-16 dalam aksi suku akhir Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.
Kemenangan sensasi itu bukan sahaja melonjakkan mereka ke separuh akhir, malah membalas dendam kekalahan lalu dan memperbaharui rekod pertemuan menjadi 2-1 memihak kepada mereka.
Wei Chong berkata, beliau bersama Kai Wun bermain dengan sangat positif dan berharap dapat mempamerkan aksi yang lebih baik pada perlawanan separuh akhir kejohanan bertaraf Super 500 itu hari ini.
“Kita bermain dengan agak bagus sebab set pertama kami mendahului namun selepas itu kalah. Set kedua dan ketiga selepas itu kami boleh pegang balik. Itu sangat baik untuk kami.
“Kita pun tak main banyak rali sangat jadi fizikal kami sangat okay. Harap dapat mengekalkan tahap ini dan buat yang terbaik esok (hari ini),” kata Wei Chong kepada pemberita selepas perlawanan, semalam.
Dalam pada itu, Kai Wun pula menyifatkan semangat juang mereka tidak pernah luntur meskipun ketinggalan pada set pertama biarpun mereka dilihat akan memenangi perlawanan pada ketika itu.
“Kami tidak menyerah kalah. Mental saya tidak turun ketika itu. Kami hanya menikmati permainan dan tidak fikir pasal kemenangan,” kata Kai Wun.
Beregu negara ranking ke-8 dunia itu kini berdepan pilihan getir menentang bekas juara dunia 2021 dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada aksi separuh akhir hari ini selepas menewaskan beregu China No. 4 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-10, 21-13, semalam.
Bagaimanapun, rekod pertemuan tidak memihak kepada pasangan Malaysia itu apabila mereka tewas dua kali kepada wakil Jepun tersebut pada Kejohanan Badminton Asia 2023 serta All England 2022.-UTUSAN






